DUNIA

PBB Keluarkan Amaran Kelewatan Bantuan Kemanusiaan Di Gaza

17/12/2025 05:54 PM

NEW YORK, 17 Dis (Bernama-WAFA) -- Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bansa Bersatu (OCHA) memberi amaran pada Selasa bahawa penghantaran bantuan kemanusiaan di Gaza mengalami kelewatan berikutan kargo bantuan sering diketepikan bagi memberi laluan kepada barangan komersial.

Situasi itu berlaku ketika ribut musim sejuk terus memburukkan lagi keadaan hidup keluarga yang daif  dan hilang tempat tinggal.

“Walaupun terdapat usaha berterusan oleh PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan rakan kongsinya, kami terus memberikan respons, namun keperluan sedia ada jauh mengatasi kepantasan tindak balas kami,” kata jurucakap OCHA, Olga Cherevko, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Beliau menambah bahawa jumlah bekalan yang memasuki Semenanjung Gaza masih terhad, selain terdapat senarai barangan yang terus disekat oleh pihak berkuasa Israel.

Sekatan itu termasuk jentera berat, peralatan, dan alat ganti yang diperlukan untuk membaiki infrastruktur yang rosak.

Cherevko mendedahkan bahawa kekangan utama masih berterusan.

“Di dalam Gaza, jumlah laluan yang tersedia untuk mengangkut bantuan kekal terhad, begitu juga dengan pintu sempadan yang boleh dilalui oleh bekalan bantuan,” katanya.

“Semua halangan ini mesti dihapuskan,” tegas beliau. “Kami mempunyai kapasiti untuk bertindak balas, tetapi kami terhalang pada ketika keperluan penduduk meningkat lebih cepat daripada apa yang mampu kami penuhi.”

-- BERNAMA-WAFA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan