JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak Lelaki Lima Tahun Maut Dilanggar MPV Ketika Melintas

17/12/2025 10:33 AM

ALOR GAJAH, 17 Dis (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas dilanggar sebuah Toyota Avanza dipercayai ketika sedang melintas di Jalan Paya Mengkuang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ahmad Abu Bakar berkata dalam kejadian 5.09 petang semalam, kanak-kanak itu sedang melintas dari kawasan perumahan menuju ke seberang jalan, sebelum dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan yang dipandu lelaki berusia 64 tahun.

“Sebelum kejadian, MPV dipandu lelaki yang bekerja sebagai penyelia itu dalam perjalanan dari arah Paya Mengkuang ke Masjid Tanah, sebelum melanggar mangsa yang dipercayai sedang melintas jalan.

“Akibat kemalangan itu, kanak-kanak itu mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan telah dibawa ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad berkata mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat dan saringan ujian air kencing ke atas pemandu telah dijalankan dan keputusan adalah negatif.

Beliau berkata siasatan awal di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan brek kira-kira lima meter dan keadaan jalan di kawasan itu ialah satu lorong dua hala, dengan permukaan jalan kering dan cuaca baik.

Ahmad berkata MPV yang terlibat mengalami kerosakan di bahagian hadapan termasuk bonet rosak serta logo kenderaan dan plat pendaftaran tercabut akibat impak perlanggaran.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Ahmad berkata orang awam yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan, diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Nurul Salina Rosli daripada Balai Polis Trafik Alor Gajah menerusi talian 011-2543 5507 atau hadir ke balai polis berhampiran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan