AM

Program Smart Next Gen Usaha PTPTN Bina Asas Kewangan Mahasiswa

16/12/2025 08:16 PM

SHAH ALAM, 16 Dis (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus komited membantu mahasiswa membina asas kewangan yang kukuh serta memotivasikan mereka menghadapi alam pekerjaan melalui Program Smart Next Gen.

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata program yang diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam hari ini bukan sahaja menzahirkan peranan PTPTN sebagai penyedia pembiayaan pendidikan, malah menekankan tanggungjawab sosial korporat kepada pelajar.

Katanya ia turut bertujuan melengkapkan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Program Smart Next Gen juga memberi pendedahan berkaitan kemahiran pengurusan kewangan yang selari dengan keperluan semasa. 

Kesedaran awal mengenai pengurusan hutang, kepentingan menabung dan amalan kewangan berhemah perlu diterapkan supaya pelajar mampu membuat keputusan bijak, termasuk memilih instrumen simpanan dengan pelbagai manfaat serta pulangan jangka panjang,” katanya pada program yang berlangsung di Dewan Mawar Qaseh, UiTM Shah Alam.

Program itu turut dihadiri Profesor Madya Dr Badrul Isa, Penolong Naib Canselor Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), serta pengurusan kanan PTPTN dan UiTM.

Norliza berkata program tersebut menekankan literasi kewangan, termasuk perancangan simpanan dan pengurusan hutang, di samping menampilkan sesi motivasi dan panduan praktikal daripada panel berpengalaman bagi membentuk pelajar berdaya saing.

Mengulas lanjut, Norliza berkata program bersama pelajar UiTM itu merupakan satu daripada inisiatif di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan berkongsi ilmu dan pengalaman dalam pelbagai bidang di samping membantu pelajar membuat persediaan awal dalam menghadapi alam kerjaya selepas tamat pengajian. 

Beliau berkata melalui program tersebut, pelajar turut diberikan fokus utama kepada pendedahan ilmu literasi kewangan termasuk perancangan simpanan dan pengurusan hutang.

“Ia selaras dengan peranan PTPTN dalam membimbing pelajar yang bukan sahaja dari segi akademik malah dari aspek kewangan, tabungan dan tanggungjawab untuk masa hadapan,” katanya.

Turut berlangsung sesi ‘Sembang Santai’ antara Norliza bersama pempengaruh terkenal Athirah Kamaruzzaman atau Tyra Kamaruzzaman dan Muhammad Noor Zakaria atau lebih dikenali sebagai MadNor yang bersama-sama berkongsi dan membincangkan mengenai pengurusan literasi kewangan golongan muda khususnya dalam kalangan  mahasiswa.

Program berkenaan merupakan kesinambungan kepada inisiatif pemerkasaan pelajar yang telah dilaksanakan sebelum ini seperti Program Literasi Kewangan dan Persediaan Kerjaya pada tahun 2022 dan 2023 serta Program Campus To Career with PTPTN pada 2024.

Ia antaranya memberi penekanan kepada perancangan kewangan berhemah serta pembentukan tabiat kewangan yang mampan dalam kalangan pelajar. 

PTPTN akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program CSR terutamanya dalam aspek pendidikan demi pembangunan anak bangsa selari dengan motonya, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin: Kami Kongsi, Kami Bantu.

Sementara itu, seorang peserta program pelajar Fakulti Kejuteraan Awam Tahun Ketiga UiTM Taufik Haikal Razlan berkata antara input dalam program tersebut adalah menerusi sesi Literasi Kewangan oleh  Hanis Zulkifli dan sesi Sembang Santai yang merupakan perkongsian berhubung literasi pengurusan kewangan dari tiga sudut berbeza.

“Seorang daripada panel antaranya Abang MadNor sendiri yang mengingatkan pelajar agar tidak leka dalam menghabiskan wang dengan perkara yang tidak berfaedah sebaliknya ia perlu dibelanjakan dengan betul untuk kegunaan masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Pelajar Fakulti Sains Komputer dan Matematik Tahun Kedua UiTM Nur Izyan Najwa Mohmad Nazer, 21 berkata program berkenaan dapat memberi tunjuk ajar terutama dalam pengurusan wang ketika dan habis belajar.

“Semua pengisian yang diberikan hari  ini bukan sahaja daripada sesi Sembang Santai  yang sangat beri input kepada saya serta rakan. Malah secara tidak langsung kami turut diperkenalkan denga produk baharu berkaitan mywaqafPTPTN yang mana mungkin selepas ini kami sudah bekerja dan boleh menyumbang semula,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan