DUNIA

Parti Pheu Thai Namakan Tiga Calon PM Menjelang Pilihan Raya Februari 2026

16/12/2025 05:48 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 16 Dis (Bernama) -- Parti Pheu Thai pada Selasa menamakan tiga calon untuk jawatan perdana menteri menjelang pilihan raya umum Thailand yang dijadualkan pada Februari tahun depan.

Dalam satu kenyataan, Pheu Thai menamakan ketua parti dan bekas timbalan menteri kewangan Julapun Amornvivat, bekas menteri pengangkutan Suriya Juangroongruangkit serta Yodchanan Wongsawat, anak saudara kepada bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, sebagai calon parti itu.

Pengumuman itu dibuat semasa acara parti bertajuk “Reboot Thailand: Pheu Thai Can Deliver” yang diadakan di sini pada Selasa.

Pemimpin Pheu Thai, Julapun, berkata parti itu sedang melaksanakan rombakan menyeluruh sebagai sebahagian daripada misinya untuk menangani isu-isu ekonomi teras rakyat dan mengembalikan kepercayaan awam.     

 Beliau berkata pelantikannya sebagai ketua parti pada 31 Okt mencerminkan jangkaan rakyat agar Pheu Thai kembali kuat dan sekali lagi menjadi sumber harapan bagi negara.

“Sepanjang bulan lalu, parti telah menunjukkan perubahan ketara, termasuk penglibatan yang lebih proaktif dengan rakyat, kerja parlimen yang lebih kukuh, penubuhan jawatankuasa strategik yang mewakili semua peringkat umur dan wilayah, serta pembangunan dasar yang menggabungkan pandangan ahli akademik dan orang ramai,” katanya pada Selasa.

Seorang lagi calon, Suriya, berkata pembangunan negara mesti bermula dengan menangani cabaran struktur, khususnya dalam sektor pengangkutan dan infrastruktur, bagi memperluas peluang ekonomi merentas semua sektor.

Sementara itu, Yodchanan berikrar untuk memimpin Thailand keluar daripada krisis semasa dan mengangkat negara itu ke status berpendapatan tinggi dengan memanfaatkan sains, teknologi dan kecerdasan buatan sebagai pemacu pertumbuhan utama.

Pada Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand mengumumkan ia telah meluluskan rancangan untuk mengadakan pilihan raya umum bagi memilih ahli Dewan Perwakilan negara itu pada 8 Feb 2026, susulan pengeluaran dekri diraja yang membubarkan Dewan Rendah Parlimen.

Menurut suruhanjaya itu, tempoh pendaftaran untuk calon kawasan pilihan raya dan senarai parti, serta penyerahan senarai calon perdana menteri oleh parti politik, akan berakhir pada Disember.

Di bawah sistem dua undi, pengundi yang layak akan memilih 500 ahli Dewan Perwakilan, yang akan berkhidmat untuk tempoh empat tahun, dengan kesemua kerusi akan dipertandingkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan