KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Multiplex Property Group mencatat satu pencapaian penting dalam perjalanan korporatnya dengan pembukaan rasmi ibu pejabat baharu di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, Selangor serentak dengan prapelancaran projek kediaman terbaharunya, Alamanda Heights Residence.
Dalam satu kenyataan hari ini, Multiplex Property berkata majlis perasmian itu disempurnakan Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang turut memuji komitmen kumpulan dalam pembangunan bandar dan pembinaan komuniti mampan di Selangor.
Jelas kumpulan itu, Ibu pejabat baharu ini dibina lapan tahun lepas dan menerima Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) pada 2019.
Kini, bangunan tersebut secara rasmi berfungsi sebagai pusat pentadbiran utama kumpulan, kata kumpulan berkenaan.
"Pemilihan Taman Bukit Serdang sebagai lokasi ibu pejabat mencerminkan komitmen jangka panjang Multiplex Property dalam memperkukuh penyampaian projek, meningkatkan penyelarasan dalaman serta menambah baik kecekapan perkhidmatan kepada semua pihak berkepentingan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Multiplex Property Group Datuk Adam Lee berkata mengenai projek Alamanda Heights, pembangunan ini mencerminkan visi kumpulan untuk menyediakan kediaman yang menggabungkan lokasi strategik, reka bentuk moden serta nilai jangka panjang.
Beliau menambah dengan kemajuan pembinaan yang berjalan lancar, Alamanda Heights dijangka menjadi mercu tanda baharu dan penanda aras bagi kehidupan bandar moden di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.
Projek Alamanda Heights yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun akan memiliki sebanyak 440 unit termasuk 88 unit Rumah Selangorku.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial