EKONOMI

Bursa Malaysia Teruskan Momentum Meningkat Ke Paras Tertinggi Dalam Masa 14 Bulan

15/12/2025 08:09 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia meneruskan peningkatan hari ini, mencecah paras tertinggi dalam tempoh 14 bulan, melepasi paras yang tinggi direkodkan sebelumnya pada 1,642.54 pada 22 Okt 2024 , disokong oleh aktiviti pembelian menyeluruh daripada pelabur institusi tempatan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 5.91 mata atau 0.36 peratus kepada 1,643.72 berbanding 1,637.81 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.73 mata kepada 1,635.08 sebelum menyusut ke paras terendah harian pada 1,632.54 beberapa minit kemudian, dan seterusnya meningkat semula ke paras tertinggi harian pada 1,644.05 sebelum mengakhiri dagangan.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 641 berbanding 402 manakala 559 kaunter lagi tidak berubah, 1,161 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.50 bilion unit bernilai RM2.16 bilion daripada 3.09 bilion unit bernilai RM2.46 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran tempatan terus memperlihatkan daya tahan yang jelas, dengan FBM KLCI mencatat prestasi kukuh sepanjang tiga sesi dagangan yang lepas.

“Ini mencerminkan keyakinan yang meningkat terhadap asas domestik dan sokongan berterusan daripada dana tempatan.

“Indeks ini kekal meyakinkan melepasi paras 1,630, yang menunjukkan paras sokongan semasa dan asas yang membina ke arah peningkatan selanjutnya.

“Sekiranya paras ini terus dipertahankan, momentum baharu ini berpotensi membuka laluan kepada penanda aras itu untuk meningkat ke sasaran akhir tahun kami pada paras 1,650,” katanya kepada Bernama.

Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI meneruskan momentum positif sejak minggu lepas dan berjaya melepasi paras 1,643 sekali gus mendorong indeks  itu dalam zon positif setakat ini pada tahun ini.

“Lebih penting lagi, kenaikan ini kekal bersifat semula jadi, bukannya mendadak, bersandarkan oleh peningkatan berperingkat dan penyertaan yang terancang, bukan disebabkan oleh pergerakan secara spekulasi yang mendadak.

“Ia adalah perkembangan yang membina memandangkan ini menunjukkan pasaran disokong oleh pengagihan semula secara berperingkat dan keyakinan yang meningkat terhadap asas pendasar, bukan didorong kedudukan jangka pendek atau aliran pelaburan yang masuk kerana dipengaruhi laporan berita penting,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank menambah enam sen kepada RM10.36, Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.49, CIMB Group menokok tiga sen kepada RM7.93, IHH Healthcare naik sembilan sen kepada RM8.70 dan Tenaga Nasional menambah lapan sen kepada RM13.10.

Bagi saham paling aktif, Velesto Energy menambah setengah sen kepada 28.5 sen, Zetrix AI susut satu sen kepada 82.5 sen, Tanco Holdings ditutup tidak berubah pada RM1.18, VS Industry susut 2.5 sen kepada 51.5 sen manakala Orkim melonjak 14.5 sen kepada RM1.10.

Kaunter paling untung termasuk Kuala Lumpur Kepong yang meningkat 30 sen kepada RM19.80, Far East Holdings menambah 30 sen kepada RM4.50, Malayan Cement naik 26 sen kepada RM7.05, Hong Leong Industries menambah 12 sen kepada RM15.92, dan Telekom Malaysia menokok 11 sen kepada RM7.91.

Antara saham paling rugi menyaksikan Nestle rendah RM1.00 kepada RM112.30, Dutch Lady susut 26 sen kepada RM30.12, Malaysian Pacific Industries menyusut 20 sen kepada RM31.80, Mi Technovation rendah 14 sen kepada RM2.76 dan Farm Fresh berkurangan 11 sen kepada RM2.72.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 16.35 mata kepada 12,090.38, Indeks FBM Emas Shariah menokok 5.29 mata kepada 11,914.49, dan Indeks FBMT 100 naik 21.66 mata kepada 11,884.96 manakala Indeks FBM 70 merosot 63.25 mata kepada 16,673.42 dan Indeks FBM ACE susut 32.90 mata kepada 4,725.29.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 58.46 mata kepada 19,280.16, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.71 mata kepada 169.88 manakala Indeks Tenaga susut 2.25 mata kepada 765.54, dan Indeks Perladangan rendah 11.82 mata kepada 8,139.45.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.25 bilion unit bernilai RM1.94 bilion daripada 1.64 bilion unit bernilai RM2.19 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 953.61 juta unit bernilai RM115.93 juta berbanding 1.04 bilion unit bernilai RM141.19 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 300.47 juta unit bernilai RM101.62 juta berbanding 397.29 juta unit bernilai RM121.52 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 179.06 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (219.28 juta), pembinaan (103.46 juta), teknologi (138.98 juta), perkhidmatan kewangan (50.01 juta), hartanah (151.42 juta), perladangan (21.79 juta), amanah pelaburan hartanah (16.38 juta), dana tertutup (2,400 saham), tenaga (152.63 juta), penjagaan kesihatan (95.75 juta), telekomunikasi dan media (25.98 juta), pengangkutan dan logistik (64.15 juta), utiliti (28.64 juta), dan amanah perniagaan (376,600)

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan