KUCHING, 15 Dis (Bernama) -- Cadangan pembekalan tenaga elektrik dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia yang akan diuruskan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) masih berada pada peringkat dasar dan teknikal, termasuk pelaksanaan kajian serta survei yang melibatkan Indonesia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata walaupun cadangan itu telah mendapat kelulusan secara prinsip, pelaksanaannya masih memerlukan kajian teknikal terperinci sebelum kajian kebolehlaksanaan dapat dijalankan.
“Buat masa ini, ia masih di peringkat dasar. Kelulusan secara prinsip sudah ada, namun kajian teknikal perlu dilaksanakan terlebih dahulu, termasuk survei yang melibatkan Indonesia bagi memaklumkan negara berkenaan.
“Kajian kebolehlaksanaan ini diharapkan dapat dijalankan pada tahun depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Ceria Ke Sekolah TNB Edisi P194 Petra Jaya.
Fadillah berkata projek pembekalan tenaga itu dijangka melibatkan beberapa pihak utama termasuk TNB, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Sarawak Energy Berhad (SEB).
Mengulas mengenai penetapan tarif, Fadillah berkata perkara itu masih belum dapat diputuskan kerana ia bergantung kepada hasil kajian terperinci bagi menentukan kos keseluruhan projek serta rundingan TNB dan SEB.
Sebelum ini, media melaporkan Sarawak telah bersetuju secara prinsip untuk membekalkan masing-masing 1,000 megawatt (MW) tenaga hijau kepada Singapura dan Semenanjung, sekali gus menandakan era baharu dalam kerjasama tenaga rentas sempadan melibatkan projek di bawah inisiatif Grid Kuasa ASEAN.
Terdahulu, pada majlis berkenaan, seramai 250 pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan Parlimen Petra Jaya menerima sumbangan kelengkapan persekolahan asas dalam program anjuran TNB berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial