KOTA KINABALU, 15 Dis (Bernama) -- Kerajaan Sabah akan menganjurkan Sambutan Krismas peringkat negeri bermula esok hingga 19 Dis ini di Padang Merdeka di sini.
Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan itu berkata buat julung kalinya, sambutan Krismas yang sebelum ini dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Sabah Council of Churches (SCC), diangkat sambutan peringkat negeri.
“Penganjuran ini mencerminkan keterbukaan serta komitmen Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam menyokong sambutan perayaan keagamaan.
“Sambutan ini akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, pada 16 Dis manakala majlis penutupan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri pada 19 Dis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ewon berkata tema sambutan tahun ini iaitu “Pengharapan Damai Dalam Kasih”, menekankan nilai perpaduan, keharmonian, kebersamaan dan saling menghormati dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama, selaras dengan wawasan Sabah First.
“Selain pelbagai pengisian pentas, turut diadakan ialah Jamuan Rakyat yang melibatkan 100 usahawan dalam kalangan penjaja tempatan yang akan menjadi pembekal pelbagai juadah jamuan sebagai sokongan kerajaan kepada perusahaan mikro dan kecil,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Ewon menjemput seluruh rakyat Sabah hadir memberi nilai dan makna kepada sambutan ini.
Maklumat lanjut mengenai atur cara sambutan boleh diperolehi melalui media sosial rasmi Datuk Ewon Benedick dan Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, DBKK serta Jabatan Penerangan Negeri Sabah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial