KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Penguasaan teknologi baharu bagi memajukan negara perlu dilaksanakan seiring usaha memperkukuh jati diri, sejarah serta warisan budaya tempatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, sebagai contoh, usaha pemuliharaan bangunan warisan Seri Negara bukan sekadar melibatkan kerja fizikal memelihara bangunan bersejarah, sebaliknya merupakan proses memaknai semula erti kemerdekaan dan pembinaan identiti nasional, khususnya bagi memastikan generasi muda memahami liku-liku perjuangan serta pengorbanan besar yang melatari pembentukan negara.
Anwar berkata bangunan berkenaan, yang suatu ketika dahulu menjadi simbol kemegahan dan elitisme kuasa penjajah sebelum diambil alih kerajaan pada 1982, perlu dimanfaatkan sebagai milik seluruh penduduk Malaysia dan diangkat sebagai warisan inklusif, bukannya kekal sebagai ruang eksklusif golongan elit baharu.
“Gedung-gedung atau bangunan bersejarah ini menjadi pilihan golongan elit penguasa tidak menjadi masalah, namun jangan sampai menghalang penduduk biasa daripada menikmati kemudahan yang sama sehingga mencetuskan pertembungan idea.
“Selain usaha mengindahkan dan memulihara Seri Negara, pendekatan ini memberi gambaran bahawa Seri Negara adalah milik negara secara keseluruhan, merangkumi nilai perisiannya, sejarahnya, seninya, budayanya serta sasteranya, selaras dengan konsep keterangkuman negara MADANI,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Seri Negara, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata pemuliharaan Seri Negara juga membuktikan bahawa pembangunan berasaskan pelaburan tinggi boleh dilaksanakan tanpa mengorbankan nilai sejarah dan seni bina asal, sekali gus menolak tanggapan bahawa kemajuan ekonomi semestinya membawa kepada penghakisan warisan.
Menurutnya, pendekatan itu wajar dijadikan model dalam pelaksanaan projek pemuliharaan warisan lain di negara ini, termasuk di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak, menerusi kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta sektor korporat bagi memastikan keseimbangan antara kemajuan, identiti dan kesejahteraan rakyat.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata usaha berterusan itu penting bagi memastikan bandar dan ruang awam negara tidak menjadi “gersang budaya”, sebaliknya berkembang sebagai persekitaran lestari, hijau dan berjiwa, yang membolehkan rakyat menikmati kemudahan, memahami sejarah serta merasai makna sebenar kemerdekaan dalam kehidupan seharian
Berangkat hadir ke majlis itu, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.
Turut hadir, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.
Kerajaan memperkenalkan Projek Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL), iaitu inisiatif untuk memulihara serta menghidupkan semula aset sejarah sebagai pemacu ekonomi dan ruang komuniti, selaras dengan visi bandar raya yang bersih, maju dan mesra alam.
Warisan KL dijangka menjana RM7.85 bilion menjelang 2035, dengan antara lokasi utama dalam projek ini termasuk Kawasan Warisan Dataran Merdeka, Seri Negara, Merdeka 118, Memorial Tun Abdul Razak dan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.
Di bawah inisiatif Warisan KL, Khazanah diamanahkan untuk memulihara lapan bangunan warisan dan bersejarah, termasuk bangunan di Bukit Carcosa iaitu Seri Negara dan Carcosa, serta pembinaan sebuah jambatan baharu yang menghubungkan Carcosa, Seri Negara dan Taman Botani Perdana Kuala Lumpur.
Seri Negara dibina pada 1896 oleh Sir Frank Swettenham, Residen-Jeneral British pertama bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, dan dijadikan kediaman rasmi beliau sejak 1904. Bangunan bersejarah itu juga pernah menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial