SUKAN

Pertukaran Taktikal Jadi Kunci Emas Regu Malaysia - Ahmad Jais

14/12/2025 07:03 PM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

CHONBURI, 14 Dis (Bernama) -- Ketua jurulatih sepak takraw negara Ahmad Jais Baharun menyifatkan pertukaran taktikal memasukkan Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican bagi menggantikan Zulkifli Razak sebagai langkah tepat dalam melunturkan semangat pemain tuan rumah Thailand, sekali gus membolehkan Malaysia muncul juara acara regu berpasukan pada Sukan SEA 2025.

Beliau berkata keputusan berani itu dibuat selepas menyedari corak permainan lawan mula menguasai perlawanan, namun tekong muda itu berjaya memberikan impak segera dari segi tempo dan keyakinan pasukan.

“Bagi saya ikut corak pemain kita, apabila kita pada tahap tertekan, kami perlu melakukan strategi untuk memecahkan barisan pertahanan lawan.

“Taktikal kami sedikit sebanyak memberikan kesan kepada pasukan dan untuk regu ketiga. Alhamdulilah ini satu perkara positif, mana-mana pemain kita beri tanggungjawab untuk melakukan dengan yang terbaik,” katanya kepada Bernama.

Pada aksi mendebarkan itu, regu pertama negara Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Amirul Zazwan Amir tewas 9-15, 15-11, 13-15 kepada trio Thailand, Pornthep Tinbangbon, Varayut Jantarasena dan Marukin Phanmakon.

Regu kedua negara yang dianggotai Mohammad Syahir Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam bagaimanapun menyuntik semangat kebangkitan Malaysia apabila menewaskan Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan 17-14, 15-13, sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.

Momentum itu diteruskan pada set penentuan apabila regu ketiga yang pada mulanya diwakili Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi tampil tenang memberi kemenangan 15-13 pada set pertama.

Pertukaran strategi Ahmad Jais pada hujung perlawanan dengan memasukkan Muhammad Zarif nyata memberi impak penting sebelum Malaysia mengesahkan pingat emas menerusi kemenangan 15-11 pada set kedua, sekali gus menjulang kejuaraan yang dinanti selama 34 tahun.

Muhammad Zarif dalam pada itu tidak mahu mendabik dada selain menyifatkan kejayaan diraih adalah hasil kerjasama berpasukan.

“Semua kawan-kawan saya adalah hero mahupun dekat luar atau dalam, saya tidak rasa saya sorang sahaja tetapi satu pasukan.

“Kami semua pasukan sepak takraw telah buktikan tiada yang mustahil, alhamdulilah berkat doa rakyat Malaysia kami dapat pingat emas,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan