KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Jaminan polis terhadap penyanyi rap Wee Meng Chee atau Namewee disambung selama sebulan bermula dari Khamis lepas hingga 11 Jan tahun depan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata lanjutan jaminan itu dibuat memandangkan polis masih menunggu laporan toksikologi dan bedah siasat berhubung kematian pempengaruh wanita warga Taiwan, Hsieh Yun Hsin, 33, yang dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan.
“Kita masih menunggu laporan toksikologi dan keputusan Jabatan Kimia, justeru jaminan (Namewee) disambung sementara siasatan diteruskan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita 2025 di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Fasa 2, di sini hari ini.
Namewee direman dari 5 hingga 13 Nov lepas sebelum dilepaskan dengan jaminan polis hingga 10 Dis bagi menunggu laporan bedah siasat mangsa.
Hsieh ditemukan mati di dalam tab mandi di bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, di sini pada 22 Okt dan mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Kes itu yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mengulas tentang Taman Angkat Amanita, Fadil berkata kawasan itu bukan sahaja berfungsi sebagai ruang rekreasi, tetapi juga menjadi platform jalinan mesra antara polis dengan masyarakat serta simbol kerjasama strategik dalam memperkukuh konsep kepolisan komuniti sebagai teras pencegahan jenayah secara holistik.
Beliau berkata sebuah kabin Amanita turut ditempatkan di kawasan berkenaan sebagai pit stop Amanita PDRM untuk mendekatkan masyarakat dengan polis serta membina kepercayaan dan persefahaman yang lebih kukuh.
Dalam perkembangan berasingan, Fadil meminta kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat berhubung penemuan janin bayi di dalam sebuah lori sampah di kawasan Bukit Jalil, Cheras, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan sebelum ini mengesahkan penemuan janin lelaki berusia kira-kira 25 minggu dengan anggaran panjang 35 sentimeter, yang mengalami kecederaan pada bahagian perut selain tengkorak kepala pecah serta tali pusat terputus, dan kes disiasat mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial