SUKAN

Piala FA: Krisis Kecederaan Tidak Gugat Persiapan JDT Hadapi Aksi Final Menentang Sabah

13/12/2025 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan krisis kecederaan dan penggantungan pemain menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Sabah FC, namun ketua jurulatihnya Xisco Munoz tidak bimbang.

Beliau yakin dengan skuad Harimau Selatan serta identiti yang dimiliki JDT sudah memadai untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA mereka.

“Kami kehilangan hampir 50 peratus pemain penting, namun kami terus mara dan memenangi setiap perlawanan. Jika ini berlaku di kelab lain, mungkin ia akan menjadi huru-hara.

“Seperti yang sering saya katakan, kami mempunyai skuad yang baik. Jadi penting untuk perlawanan esok bahawa sesiapa sahaja yang dipilih memberikan yang terbaik dan mengikut gaya permainan kami,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

JDT kini tanpa trio yang digantung perlawanan iaitu Hector Hevel, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal manakala senarai kecederaan mereka melibatkan Arif Aiman Mohd Hanapi, Bergson da Silva, Romel Morales dan Juan Muniz.

Sementara itu, Xisco mengakui prestasi semasa Sabah tidak boleh dipandang ringan, khususnya selepas kemenangan separuh akhir yang mengagumkan ke atas Selangor.

“Kami tahu apa yang mereka lakukan dari segi taktikal. Bagaimana mereka bergerak, bagaimana keupayaan mereka dan bagaimana mereka menyingkirkan Selangor.

“Kami perlu memberikan prestasi terbaik dan yang paling penting, kami perlu sentiasa memulakan perlawanan seperti cara JDT memulakan permainan,” katanya.

Dalam pada itu, kapten JDT Natxo Insa kekal positif walaupun berdepan cabaran berkenaan dan berasakan pemain yang ada mampu tampil serta meninggalkan impak.

“Ini adalah bola sepak dan kadangkala perkara buruk kepada seorang pemain adalah perkara baik kepada pemain lain.

“Kami mempunyai skuad yang besar dan kami sedang menunjukkan prestasi. Jadi kami perlu menganggapnya sebagai satu cabaran dan membuktikan tanpa mengira siapa yang bermain, pasukan masih mampu memberikan persembahan pada tahap tertinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan