Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 12 Dis (Bernama) -- Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan boleh menarik nafas lega selepas sah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir saingan bola sepak lelaki Sukan SEA Thailand 2025, selaku naib juara kumpulan terbaik.
Ia selepas penyandang juara Indonesia, gagal menempatkan diri sebagai naib juara kumpulan terbaik biarpun merakam kemenangan 3-1 ke atas Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan C, malam ini.
Skuad Harimau Muda bimbingan Mohd Nafuzi Zain muncul naib juara kumpulan terbaik dengan kelebihan jaringan, apabila mengumpul keseluruhan empat gol berbanding Indonesia yang hanya meledak tiga gol selepas dua perlawanan, sekali gus tersingkir daripada saingan.
Di pentas separuh akhir, Malaysia dijadual bertemu pasukan tuan rumah yang menjuarai Kumpulan A di Stadium Rajamangala, Isnin depan.
Satu lagi aksi separuh akhir menemukan juara Kumpulan B Vietnam dan juara Kumpulan C Filipina.
Sebagai rekod, Malaysia terkandas seawal peringkat kumpulan pada edisi 2023 di Kemboja, selepas tewas dalam aksi penentuan pingat gangsa pada edisi 2021 di Hanoi.
Kali terakhir skuad negara menaiki podium ialah ketika memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial