EKONOMI

Sunway Square Mall Dibuka, Gabungkan Peruncitan, Seni Dan Gaya Hidup Komuniti

12/12/2025 09:27 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Pusat beli-belah Sunway Square Mall beroperasi secara rasmi hari ini, sekali gus menandakan pembukaan hab komuniti mesra haiwan peliharaan empat tingkat seluas 320,000 kaki persegi di Sunway City Kuala Lumpur.

Pusat beli-belah berkenaan yang menjadi komponen penting dalam pembangunan bersepadu Sunway Square dibuka kepada orang ramai dengan seleksi tawaran berasaskan gaya hidup, santai dan berorientasikan komuniti yang dikurasi khas. 

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Mall HC Chan berkata pusat beli-belah di Malaysia kekal berperanan sebagai "ruang ketiga” yang penting dalam ekosistem sosial, selain daripada rumah dan tempat kerja.

Beliau berkata pusat beli-belah juga kini menjadi ruang hidup tambahan iaitu tempat orang ramai berkumpul untuk makan, berhibur dan meluangkan masa berkualiti bersama ahli keluarga dan rakan.

“Pusat beli-belah adalah komponen penting dalam ekosistem sosial, berperanan sebagai ‘pasar moden’ untuk interaksi sesama manusia,” katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian Sunway Square Mall yang turut dihadiri Pengurus Besar Kanan Sunway Mall Selangor Jason Chin di sini hari ini.

Chan berkata Sunway Square Mall memenuhi keperluan komuniti sekitar dengan menawarkan pengalaman jenama yang nyata, diperkukuh oleh penyewa dalam bidang riadah, hiburan serta makanan dan minuman.

Beliau berkata pembangunan Sunway Square yang lebih luas turut dirancang untuk menggalakkan kreativiti, inovasi dan kerjasama dalam komuniti melalui gabungan pusat beli-belah, menara pejabat, Sunway University serta pusat pertunjukan kesenian bertaraf dunia yang bakal dibuka.

"Kami menerima sokongan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai semasa pembukaan. Kehadiran yang memberangsangkan ini membuktikan rakyat Malaysia menghargai dan tertarik kepada hab komuniti yang meriah,” katanya.

Pembangunan bersepadu Sunway Square menempatkan kampus Sunway University baharu terdiri daripada Pengajian Perniagaan serta Fakulti Seni dan Sains Sosial Sunway, dengan kemudahan akses lancar melalui canopy walk dan sistem Transit Aliran Bas (BRT) dalam konsep bandar 15 minit.

Sunway Square Mall menempatkan lebih 130 unit kedai dan memaparkan elemen dalaman berinspirasikan seni termasuk tangga gaya Sepanyol, struktur gerbang keluli serta enam arca karya artis residen Sunway, Infantino Fernandes.

Pengunjung juga boleh mengakses Sunway South Quay Lake & Park yang mesra haiwan peliharaan melalui bubble lift selain kemudahan seperti Squarrel Pet Playground dan kawasan air terjun di tepi tasik.

Pada masa ini, Sunway Mall menguruskan 15 pembangunan runcit dengan jumlah keluasan boleh disewa bersih sebanyak 9.3 juta kaki persegi, selain projek yang akan dibangunkan di Ipoh (Perak), Pelabuhan Klang (Selangor), Johor Bahru (Johor) serta Seremban (Negeri Sembilan).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan