AM

Hujan Berterusan Di Sarawak, Johor Dan Pantai Timur Hingga Selasa

12/12/2025 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Hujan berterusan diramal melanda beberapa kawasan di Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang serta Johor pada esok dan Ahad yang dijangka berlaku hingga Selasa depan.

Menurut amaran tahap waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 1 tengah hari tadi, hujan berterusan dijangka berlaku di Sarawak bermula esok hingga 16 Dis melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Keadaan cuaca sama dijangka melanda seluruh Terengganu serta beberapa kawasan di Kelantan, iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh selama tiga hari dari Ahad ini.

"Hujan berterusan juga diramal berlaku mulai Ahad hingga Selasa di Johor membabitkan Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi serta Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang," menurut amaran itu. 

Dalam kenyataan berasingan, MetMalaysia mengeluarkan Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora Kategori Pertama melibatkan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan hingga Khamis depan.

Jabatan itu memaklumkan angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan terlibat dalam tempoh berkenaan.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot-bot kecil, aktiviti rekreasi laut dan sukan laut," menurut kenyataan itu.

Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan Amaran Kenaikan Paras Laut di perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi tempoh Sabtu hingga Isnin.

Menurut MetMalaysia, keadaan itu berisiko menyebabkan limpahan air laut di pesisir pantai, khususnya di kawasan rendah dan terdedah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan