KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman merekodkan nilai rampasan sebanyak RM7.1 bilion menerusi pelbagai operasi yang dilaksanakan setakat 30 Nov lepas.
Pengarah Jabatan KDNKA Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata dalam tempoh yang sama, sebanyak 3,900 operasi dilakukan dengan 9,800 orang ditahan.
“Saya percaya bahawa kejayaan yang dilakarkan tahun ini pasti dapat diulang pada 2026 dan berikutnya serta kerjasama ini akan dapat diteruskan demi meningkatkan nama KDNKA dan Polis Diraja Malaysia.
“Hal ini supaya masyarakat tahu bahawa kita sebenarnya merupakan tulang belakang kepada banyak kejayaan yang boleh dilakarkan di dalam negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Khas Jabatan KDNKA di Pasukan Gerakan Udara Pangkalan Subang, di sini hari ini.
Azmi turut menekankan bahawa mengekalkan kejayaan bukanlah perkara mudah, tetapi kerjasama daripada semua anggota dan barisan kepimpinan mampu memberikan keberhasilan yang baik kepada pasukan dan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan bahawa wibawa keselamatan dan ketenteraman awam merupakan asas kewujudan jabatan berkenaan dan berharap prinsip terbabit akan terus menjadi panduan dalam setiap tugasan yang dilaksanakan anggota serta pegawai.
“Sebagai pegawai KDNKA, kita tidak boleh lalai dalam mengurus protokol keselamatan dan ketenteraman awam kerana inilah tanggungjawab kita,” katanya.
Azmi berkata KDNKA juga mencatat kejayaan dalam pengurusan keselamatan dan laluan trafik bagi beberapa persidangan besar termasuk Sidang Kemuncak ASEAN, lawatan rasmi Presiden China ke Malaysia serta beberapa majlis besar yang lain.
“Beberapa minggu lepas, kita turut membantu kontinjen Sabah dalam Pilihan Raya Negeri dan semua ini berjalan lancar hasil perancangan rapi dan pelaksanaan berkesan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial