MELAKA, 12 Dis (Bernama) -- Kerajaan komited meneruskan Kempen Keselamatan Internet (KIS) 2.0 pada tahun hadapan dengan memfokus kepada pendidikan literasi keselamatan digital dalam kalangan ibu bapa bagi memperkasa pengetahuan masyarakat serta melindungi mereka daripada ancaman siber.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata KIS, yang dilancarkan pada Januari lepas, perlu diperluas bagi meningkatkan kesedaran bukan sahaja dalam kalangan murid sekolah tetapi juga ibu bapa, pendidik dan penyedia platform tentang kepentingan mengamalkan etika serta keselamatan dalam penggunaan Internet.
"Peranan ibu bapa amat penting... pemantauan rapi, bimbingan berterusan dan komunikasi terbuka antara ibu bapa dengan anak-anak membantu membentuk sikap bertanggungjawab serta kesedaran tentang risiko dunia maya sejak usia awal," katanya dalam ucapan perasmian Kempen Internet Selamat Wilayah Selatan di Universiti Multimedia di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur dan Komunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran yang merasmikan majlis berkenaan bagi pihak Fahmi.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Bukhari Yahya.
Fahmi juga berkata setakat November lepas, KIS telah memperkasa pelajar di 1,478 institusi pendidikan di seluruh wilayah selatan merangkumi Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dengan penyertaan kira-kira 26,617 pelajar.
"Meskipun kita telah mencapai jumlah sasaran yang ditetapkan, namun kita tidak harus mudah berpuas hati kerana matlamat kita lebih daripada sekadar menghitung jumlah pelaksanaan program, tetapi lebih kepada membendung pengguna Internet daripada terus menjadi mangsa jenayah dalam talian," katanya.
Beliau berkata walaupun Internet membolehkan capaian maklumat tanpa batas, mengukuhkan ekonomi digital dan jaringan komunikasi namun ia turut membawa cabaran seperti buli siber, penipuan, maklumat palsu, perjudian digital serta eksploitasi seksual kanak-kanak yang membimbangkan.
Fahmi berkata kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan MCMC menunjukkan data yang diperoleh bukan sekadar statistik tetapi juga amaran bahawa ruang digital telah disalah guna untuk perkara yang memudaratkan.
Beliau berkata setakat September lepas, rekod PDRM menunjukkan lebih 47,000 kes jenayah penipuan dalam talian direkodkan dengan anggaran kerugian melebihi RM1.9 bilion.
"Jumlah ini menunjukkan peningkatan melebihi 12,000 kes berbanding 35,368 yang direkodkan pada 2024 melibatkan anggaran kerugian RM1.5 bilion.
"Selain itu, lebih 880,000 fail digital jenayah seksual ditemukan termasuk bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan juga pornografi dewasa, dengan tangkapan 31 individu dalam OPS Pedo 2.0 pada Oktober lepas," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial