KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Komitmen berterusan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk memperkukuh kehadiran jenamanya dalam pasaran yang sentiasa berubah diiktiraf apabila syarikat utiliti itu menerima anugerah berprestij Jenama Terbaik 2025–2026 pada majlis World Branding Awards di Osaka, Jepun baru-baru ini.
Pengiktirafan global tertinggi itu dianugerahkan kepada TNB sebagai bukti kepada standard kecemerlangannya dalam kepimpinan jenama dalam sektor tenaga di Malaysia.
Syarikat utiliti elektrik nasional itu merupakan satu-satunya jenama yang menerima pengiktirafan di bawah kategori anugerah tenaga di Malaysia.
TNB telah memenangi anugerah yang sama pada 2014, 2018, 2019 dan 2021.
Majlis itu dianjurkan oleh World Branding Forum (WBF), sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan antarabangsa yang berpangkalan di London, bertujuan meningkatkan piawaian untuk manfaat komuniti penjenamaan dan pengguna.
Ia mengiktiraf dan meraikan jenama global, serantau dan nasional yang terbaik atas usaha dan pencapaian mereka.
Pada tahun ini, sebanyak 1,092 jenama telah dicalonkan sebagai pilihan pengguna dan kurang daripada 100 meraih pengiktirafan sebagai Jenama Terbaik.
Pemenang dinilai berdasarkan tiga aspek yang terdiri daripada penilaian jenama, penyelidikan pasaran pengguna dan undian awam.
Edisi pada tahun ini menyaksikan lebih 91,000 pengguna dari 66 negara mengundi untuk memberi pengiktirafan kepada jenama yang paling mereka percayai dan gemari.
Pengiktirafan terkini yang diberikan kepada TNB melambangkan dedikasi syarikat utiliti itu yang tinggi dalam usaha memberikan nilai dan perkhidmatan yang terbaik kepada negara.
Anugerah itu menggariskan usaha dan dedikasi seramai 35,000 tenaga kerja TNB di seluruh negara dalam memberikan perkhidmatan yang luar biasa dan menyediakan penyelesaian tenaga kepada lebih 11 juta pelanggan di Malaysia.
Ia juga membolehkan TNB kekal relevan, membina kepercayaan dan membentuk piawaian industri.
TNB menzahirkan penghargaan kepada para pelanggan dan pihak berkepentingan atas sokongan berterusan mereka dalam syarikat itu memperkukuh usahanya untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan terus maju bersama ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan, dipercayai dan berteraskan pelanggan.
Sementara itu, Pengerusi Global WBF Richard Rowles berkata pengiktirafan itu menjadi petunjuk kepada pencapaian jenama dalam mendapatkan kepercayaan orang ramai terutamanya dengan 70 peratus undian adalah daripada pengguna.
Rowles berkata apabila pengguna mengundi untuk sesuatu jenama, ia bukan sekadar pengiktirafan, ia merupakan pengesahan.
Undian awam merupakan bentuk pengiktirafan jenama yang tertinggi: ia menukar persepsi menjadi bukti, pemasaran menjadi bermakna dan kehadiran mendapat kepercayaan.
Anugerah tersebut bukan hanya meraikan kejayaan, malah mengetengahkan usaha yang berterusan, visi dan emosi di sebaliknya.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial