AM

Banjir: Hampir 11,657 Hektar Sawah Di Kawasan Mada Terjejas

11/12/2025 07:41 PM

ALOR SETAR, 11 Dis (Bernama) -- Banjir di Kedah dan Perlis baru-baru ini telah menjejaskan hampir 11,657 hektar sawah padi membabitkan kerugian hampir RM20 juta. 

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Dr Ismail Salleh berkata ia membabitkan 5,550 pesawah di kedua-dua negeri berkenaan.

Beliau berkata Wilayah I Perlis paling teruk terjejas dengan keluasan 5,721 hektar, Wilayah II Jitra (5,648 hektar), Wilayah III Pendang (271 hektar) dan Wilayah IV Kota Sarang Semut (16.74 hektar).

“Kebanyakan tanaman berada pada usia tujuh hingga 45 hari, sekali gus menjejaskan pendapatan pesawah dan mengganggu jadual penanaman musim 2/2025.

“Kami jangkakan kerugian yang ditanggung pesawah melebihi daripada angka itu kerana pelbagai kos yang ditanggung petani seperti benih, upah membajak dan sebagainya,” katanya di sini hari ini. 

Ismail berkata bagi memastikan aktiviti sawah tidak terganggu, pihaknya telah mengemukakan permohonan peruntukan pascabanjir kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada 7 Dis lepas. 

“Sementara menunggu kelulusan, MADA menyalurkan RM611,000 bagi kerja kecemasan di sawah terjejas.

“Kami juga menyediakan peruntukan lebih RM1 juta bagi kerja-kerja pembersihan saliran, pengairan, laman ladang dan tali air. Kos keseluruhan kerja pemulihan di kawasan banjir dianggarkan mencecah RM11.2 juta,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bancian terperinci sedang dijalankan bagi memastikan pesawah yang terjejas menerima bantuan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP).

Sementara itu, setakat hari ini paras takungan air di tiga empangan utama MADA direkodkan pada 65.69 peratus di Empangan Pedu, Empangan Muda (99.72 peratus) dan Empangan Ahning (68.45 peratus).

Ismail berkata MADA berada di landasan kukuh dalam memastikan bekalan padi negara tidak tergugat. 

Beliau berkata Kawasan Muda seluas 100,641 hektar yang diusahakan 55,904 pesawah terus menjadi tunjang utama negara, menghasilkan antara 35 hingga 40 peratus daripada keseluruhan pengeluaran padi setiap tahun.

“Prestasi 2024 turut memberi gambaran positif apabila 790,658 tan metrik padi berjaya dituai, meningkat berbanding 775,186 tan metrik pada 2023. 

“Lonjakan itu hasil kejayaan Projek Ladang Pintar IR4.0 yang menggabungkan penggunaan IoT (pertanian pintar), sensor tanah dan air, dron serta pemantauan digital... Teknologi ini bukan saja membantu pesawah bekerja lebih cekap, malah mengurangkan pembaziran input serta meningkatkan hasil,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan