KUCHING, 11 Dis (Bernama) -- Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sarawak kini berada pada peringkat akhir untuk diwartakan sepenuhnya sebagai jalan Gred 1, menandakan pencapaian penting yang dijangka meningkatkan kapasiti infrastruktur jalan negeri serta menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Michael Kong Feng Nian berkata 17 daripada 26 sektor lebuh raya yang menghubungkan Teluk Melano di Lundu ke Permyjaya, Miri telah rasmi diwartakan di bawah “Senarai 1”, Perintah Had Berat, manakala sembilan sektor baki masih dalam proses yang sama.
Menurut Kong, usaha menaik taraf dan pengkelasan semula LPB melibatkan kerjasama rapat antara LPKP Sarawak, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak serta Kementerian Pengangkutan Sarawak.
“Perwartaan ini mengesahkan bahawa LPB dibina mengikut piawaian tertinggi, setanding dengan jalan-jalan utama di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini selepas meninjau sebuah stesen penguatkuasaan JPJ Sarawak.
Beliau berkata susulan peningkatan ini, had berat kenderaan maksimum bagi kenderaan berat yang menggunakan lebuh raya itu akan dinaikkan kepada 45 tan bagi lori lima paksi dan 50 tan bagi lori enam paksi.
“Had baharu ini dijangka memberi manfaat kepada pengusaha lori di seluruh Sarawak serta meningkatkan kecekapan logistik negeri,” katanya.
“Kemudahan ini mencerminkan peningkatan kapasiti infrastruktur LPB serta komitmen Kerajaan Persekutuan dalam mengimbangi keselamatan jalan raya, kecekapan pengangkutan dan keperluan ekonomi,” tambahnya.
Kong berkata LPKP Sarawak akan terus bekerjasama rapat dengan JPJ, JKR dan agensi berkaitan lain bagi memastikan dasar pengangkutan sentiasa progresif dan menyokong pembangunan berterusan Sarawak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial