JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Dua Lelaki, Rampas Dadah Bernilai RM181,137

11/12/2025 06:34 PM

KEPALA BATAS, 11 Dis (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki tempatan dipercayai orang suruhan kepada sindiket pengedaran dadah dan merampas heroin serta methamphetamine bernilai RM181,137 dalam dua serbuan di Penaga, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abdul Rahman berkata suspek pertama berusia 33 tahun ditahan di tepi jalan di Permatang Berah susulan risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik ibu pejabat polis daerah itu.

“Pemeriksaan dalam kereta dipandu suspek menemukan 1,863.3 gram heroin bernilai RM17,300 yang seterusnya membawa kepada serbuan kedua di sebuah premis di Padang Tembusu. 

“Suspek kedua berusia 27 tahun ditahan bersama-sama 5,119.9 gram methamphetamine bernilai RM163,837 dan polis juga menyita motosikal Yamaha NYX bernilai RM12,000 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan serta sitaan RM193,137,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Anuar berkata modus operandi sindiket pengedaran dadah itu ialah menjadikan rumah sebagai lokasi pengedaran dadah untuk pasaran tempatan dan dipercayai aktif sejak beberapa bulan lepas.

Beliau berkata dua lelaki itu didapati positif dadah selain suspek pertama memiliki dua rekod lampau dadah.

Mereka kini direman sehingga 17 Dis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan