Artikel ini yang kedua daripada laporan bersiri tentang isu nyahjenayah dadah di negara ini.
Di satu sekatan jalan raya malam Sabtu pada 2022, anggota polis yang berkawal menahan sebuah kereta dipandu pemuda berusia lingkungan 20-an.
Memang nasib pemuda tersebut malang, kerana di dalam begnya ketika itu ada ketulan marijuana seberat 100 gram. Menurut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, memiliki ganja seberat 200 gram ke bawah adalah kesalahan pemilikan sementara berat 200 gram ke atas pula merupakan kesalahan mengedar.
Danial Hamid (bukan nama sebenar) yang bekerja dalam industri media, menarik nafas panjang, dan sambil tersenyum kelat memberhentikan keretanya. Seorang anggota polis menghampiri dan menjalankan pemeriksaan yang seterusnya membawa kepada penemuan ketulan dadah sebesar buah pic itu.
“Tak banyak pun sebenarnya. Tapi di mata mereka besarlah (jumlah) tu,” katanya kepada Bernama menerusi panggilan telefon.
Danial yang berdepan dengan hukuman penjara dan sebatan jika disabitkan kesalahan menurut seksyen berkenaan, bagaimanapun “terselamat” apabila anggota polis terbabit menggunakan budi bicara melepaskannya tanpa sebarang tindakan.
Mendakwa dia menggunakan ganja sekali-sekala bagi merawat masalah keresahan (anxiety) yang dialaminya, Danial berkata pengalaman itu merupakan sebahagian daripada rencah kehidupan yang dilaluinya sebagai pengguna bahan terlarang tersebut. Setakat ini dia belum lagi “tersangkut” dalam cengkaman undang-undang.
Akan tetapi, jika kerajaan Malaysia menyahjenayahkan kesalahan kecil berkait dadah sebagai antara usaha mengurangkan kesan undang-undang dadah terhadap rakyat, masyarakat dan ekonomi, interaksi antara Danial dan pihak berkuasa di masa depan akan berubah sama sekali.
Tanpa menangkap Danial, anggota polis itu sebaliknya hanya akan menyita dadah tersebut dan mengeluarkan notis saman mengarahkan dia melaporkan diri di pusat kaunseling dadah. Di sana, pakar akan menilai tahap kebergantungannya pada dadah, dan sama ada memberikannya nasihat atau merujuknya ke pusat pemulihan. Danial kemudian akan meninggalkan pusat itu dengan maklumat dan bantuan - tanpa rekod jenayah.
NYAHJENAYAH, BUKAN MENGHALALKAN
“Apa yang ramai tidak faham ialah menyahjenayahkan dadah tidak bermaksud menghalalkannya,” kata Palani Narayanan, Pengarah Program Dasar Dadah, Yayasan AIDS Malaysia, pada Sidang Kemuncak Dasar Dadah pertama negara yang diadakan di sini pada November lalu.
Dalam erti kata lain, dadah yang dianggap berbahaya oleh kerajaan seperti heroin, kokain, methamphetamine dan amfetamina kekal haram. Mengedarkannya juga kekal sebagai satu jenayah.
pic-2
Sebaliknya, idea yang diketengahkan ialah menghentikan pengkelasan kesalahan seperti memiliki dadah untuk kegunaan peribadi atau penyalahgunaan dadah sebagai satu jenayah, dan menganggap kesalahan itu sebagai “kesalahan administratif” yang memerlukan kaunseling dan bantuan kesihatan.
Pendekatan inilah yang diambil oleh Portugal yang menyahjenayahkan kesalahan kecil dadah dan ketagihan pada 2001. Pendekatan berasaskan kesihatan itu berjaya menurunkan kadar kematian berkaitan dadah, jumlah tangkapan dan penggunaan dadah yang kini berada di bawah angka purata Eropah.
Malaysia berharap dapat belajar daripada negara Eropah tersebut serta negara-negara lain yang mengambil pendekatan sedikit berbeza.
“(Di Portugal, kesalahan kecil berkait dadah) dianggap kesalahan administratif, hampir sama seperti kesalahan trafik,” kata Nuno Capaz, Naib Presiden Commission for the Dissuasion of Drug Addiction di Lisbon, seorang daripada ahli panel pada Sidang Kemuncak Dasar Dadah baru-baru ini.
Di bawah undang-undang Portugal, memiliki sejumlah kecil dadah atau menyalahgunakannya tidak dianggap kesalahan jenayah atau mewajarkan hukuman.
Capaz turut menegaskan nyahjenayah bukan bermaksud Portugal “membuka pintu seluas-luasnya kepada dadah”. Walaupun seseorang tidak dipenjarakan, pemilikan dadah tetap tidak dibenarkan di sisi undang-undang. Malah, berbanding beberapa negara lain seperti Thailand dan beberapa negeri di Amerika Syarikat, ganja dan kesemua jenis dadah yang berisiko tinggi menyebabkan ketagihan atau “hard drug”, masih diharamkan di Portugal.
“Di Portugal tidak ada kedai menjual dadah secara terbuka. Malah, membawa dadah untuk kegunaan sendiri juga tidak dibenarkan oleh undang-undang. Jika anda terserempak dengan polis, dadah itu akan disita. Anda tidak dibenarkan menyimpan dadah walaupun untuk kegunaan sendiri,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan Malaysia agar tidak menerima guna bulat-bulat model Portugal itu. Sebaliknya kata beliau, Malaysia perlu merangka dasar yang sesuai dengan keperluan dan budaya tempatan.
“Yang paling penting ialah iltizam politik,” katanya.
TITIK TOLAK
Hujah Capaz tepat. Walaupun Portugal turut bergelut dengan masalah kesesakan di penjara dan penyakit berkaitan dadah seperti HIV/AIDS ketika perdagangan dadah tidak menunjukkan tanda-tanda kemerosotan di awal 2000-an, profil pengguna dadah mereka agak berbeza.
Berdasarkan data Kesatuan Eropah, kanabis ialah dadah paling popular di Portugal, diikuti heroin dan kokain. Di Malaysia, bahan yang paling banyak disalahgunakan dalam kalangan penghuni pusat pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ialah perangsang seakan amfetamina (ATS) seperti ekstasi, ais dan syabu, diikuti opiat dan kokain. Hanya empat peratus daripada penghuni menggunakan kanabis.
Data ini mungkin tidak tepat kerana ia berdasarkan jumlah penghuni di pusat pemulihan. Kajian yang diterbitkan pada 2022 dalam jurnal International Environmental Research and Public Health mendapati kanabis ialah dadah paling popular dalam kalangan belia Malaysia berusia 15 hingga 40 tahun, diikuti ATS dan ketum.
Di Sidang Kemuncak Dasar Dadah, para pakar daripada bidang kesihatan awam, undang-undang, penguatkuasaan dan kerajaan bersetuju bahawa Portugal bukanlah model penyelesaian yang sesuai untuk semua negara.
Penolong Pengarah Perundangan dan Siasatan di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman ACP Chandra Segaran Subramaniam yang turut berucap di sidang kemuncak tersebut, menyokong usaha nyahjenayah bagi sesetengah kesalahan dadah, namun dengan syarat tertentu.
“Kita perlu berhati-hati… kita cuma guna Portugal sebagai model, tetapi kita juga perlu lihat negara lain yang telah melakukan nyahjenayah ini tetapi gagal,” katanya, memberi ingatan.
Beliau berkata nyahjenayah tidak harus membuka ruang seluas-luasnya, tetapi dilakukan langkah demi langkah, seperti membenarkan sesetengah rakyat Malaysia yang didapati positif dadah – dianggap penggunaan dadah menurut Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya – tetapi tidak termasuk dalam kategori pemilikan atau pengedaran dadah, untuk mendapatkan kaunseling daripada AADK. Golongan ini tidak akan mempunyai rekod jenayah.
Dalam senario itu, Danial juga tidak akan dilepaskan begitu sahaja kerana penemuan kanabis di dalam keretanya “memerlukan” dia ditangkap.
Pihak lain yang berhujah mahukan dasar lebih liberal, mencadangkan pembenaran bagi sesetengah jenis dadah yang kurang serius seperti ketum (di bawah Akta Racun) dan kanabis (disenaraikan sebagai bahan terlarang di bawah Akta Dadah Berbahaya) yang turut digunakan untuk tujuan perubatan.
“Jika kita nyahjenayah, kita akan selesaikan sebahagian masalah. Bila kita benarkan (dari segi undang-undang) kita akan berdepan masalah lain, tetapi sebahagian besar isu pengedaran dadah akan lenyap,” kata Dobby Chew Chuan Yang, aktivis hak asasi manusia dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan antihukuman mati HAYAT.
Namun, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lanisman Awang Sauni memberitahu Bernama penggubalan undang-undang untuk ganja perubatan bukan sebahagian daripada rancangan reformasi dasar dadah Malaysia.
PROSES YANG PANJANG
Ramai di sidang kemuncak itu turut menyuarakan kebimbangan akan penerimaan dasar nyahjenayah dadah dalam kalangan agensi penguatkuasaan, sekiranya dilaksanakan. Peranan polis dan penguat kuasa lain amat penting untuk memastikan dasar ini berkesan kerana mereka merupakan pihak yang paling kerap berdepan dengan pengguna dan penagih dadah.
Berdasarkan pengalamannya, Rui Filipe Costa, komander siasatan jenayah di Lisbon, memberitahu Bernama bahawa polis Portugal dapat menyesuaikan diri dengan dasar nyahjenayah dalam tempoh beberapa tahun. Namun beliau mengakui ada segelintir pegawai polis yang tidak menyukai langkah-langkah dalam proses nyahjenayah.
“Dalam kalangan pegawai penguat kuasa, ada yang beranggapan bahawa nyahjenayah menyebabkan ramai anggota polis bertindak seperti kaunselor atau pekerja sosial kerana mereka perlu membuat rujukan kepada Suruhanjaya (Dissuasion of Drug Addiction). Dan sesetengah daripada mereka rasa ini bukan kerja polis. Jadi mereka lepaskan begitu sahaja individu berkenaan,” katanya melalui Google Meet.
Selain menghasilkan data yang lebih baik, para pakar berkata nyahjenayah bagi kesalahan dadah ringan dapat membantu mengurangkan rasuah – satu matlamat yang dijanjikan oleh kerajaan.
Perjalanan ke arah nyahjenayah dadah akan mengambil masa yang panjang di Malaysia. Penggubal dasar dan pihak berkepentingan perlu merangka definisi jelas tentang apa yang dimaksudkan dengan nyahjenayah. Kabinet perlu bersetuju. Undang-undang perlu dipinda. Parlimen perlu meluluskan pindaan tersebut.
Namun, nyahjenayah akan memberikan kelegaan kepada Danial dan mereka yang senasib dengannya. Sentiasa bermain di fikirannya ialah kehidupannya, sumber pendapatannya, masa depannya dan hubungannya. Jika ditangkap, didakwa dan disabitkan kesalahan, dia perlu menjalani hukuman penjara atau ditempatkan di pusat pemulihan, dan selama-lamanya direkodkan sebagai seorang penjenayah serta “orang yang tidak diingini” di Malaysia di bawah undang-undang semasa, iaitu sesuatu yang amat memeritkan baginya.
“Saya tidak anggap yang saya ni jahat. Tapi disebabkan saya hisap ganja, status saya boleh berubah menjadi orang jahat dalam sekelip mata. Undang-undang boleh labelkan kita jadi orang jahat tau,” kata Danial sambil ketawa kecil.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial