EKONOMI

IATA: Dolar Lemah Akan Lonjak Keuntungan Syarikat Penerbangan Pada 2026

09/12/2025 08:38 PM

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

GENEVA, 9 Dis (Bernama) -- Kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi manfaat kepada keuntungan dan margin syarikat penerbangan yang berasaskan bukan dolar AS dengan mengurangkan kos yang menggunakan nilai mata wang dolar AS seperti bahan api, sewa pesawat dan penyelenggaraan.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata ia menganggarkan 55 hingga 60 peratus kos syarikat penerbangan global adalah dalam dolar AS berbanding 50 hingga 55 peratus dari segi pendapatan.

Berdasarkan ini, penyusutan satu peratus dolar AS berbanding mata wang global boleh meningkatkan keuntungan syarikat penerbangan global kira-kira satu peratus selain memperbaiki margin operasi sebanyak kira-kira 0.05 mata peratusan.

Ketua Ekonomi dan Kemampanan IATA Marie Owens Thomsen berkata peningkatan kecekapan bahan api dijangka hanya mencapai sekitar 1.0 peratus berikutan isu rantaian bekalan terus menghalang pembaharuan kapal terbang serta mendorong usia purata pesawat melebihi 15 tahun, yang tertinggi dalam rekod.

"Dengan mengambil kira pertumbuhan industri, penggunaan bahan api dijangka meningkat kepada 106 bilion gelen pada 2026, meningkat 2.7 peratus daripada 103 bilion gelen pada 2025," katanya pada IATA Global Media Day di sini, Selasa.

Beliau berkata, ramalan konsensus menunjukkan harga minyak mentah Brent akan menurun kepada US$62 setiap tong manakala harga bahan api jet hanya dijangka turun 2.4 peratus daripada US$90 setiap tong (US$1 = RM4.11) pada 2025 kepada US$88 setiap tong pada 2026.

Katanya, ini berikutan margin penapisan yang lebih besar.

Margin penapisan merujuk kepada perbezaan harga antara minyak mentah dengan produk yang telah ditapis dan perbezaan ini memberi kesan ketara terhadap margin keuntungan penapis minyak.

"Bahan api dijangka menyumbang 25.7 peratus daripada jumlah perbelanjaan operasi, berkurang daripada 26.8 peratus pada 2025," katanya.

Sementara itu, kos tambahan bagi pembelian bahan api penerbangan mampan (SAF) oleh syarikat penerbangan dijangka mencapai US$4.5 bilion pada 2026 dengan anggaran 2.4 juta tan SAF dijangka tersedia.

Mengenai rantaian bekalan industri, Thomsen berkata cabaran rantaian bekalan terus mengekang keupayaan syarikat penerbangan untuk memenuhi permintaan pengguna bagi pengangkutan udara.

"Walaupun beberapa penambahbaikan dijangka pada 2026, tunggakan pesanan pesawat berkemungkinan terus meningkat. Faktor muatan yang tinggi dan hasil yang stabil sebahagiannya disebabkan oleh kekangan rantaian bekalan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kesan cabaran pertumbuhan akibat cabaran rantaian bekalan masih menjadi penghalang kepada keuntungan syarikat penerbangan.

"Walaupun penghantaran pesawat diunjurkan meningkat dengan ketara pada 2026, kadar pesanan baharu mengatasi pengeluaran menyebabkan tunggakan pesanan mencapai paras tertinggi selain memberi isyarat bahawa kekangan bekalan dan kesan kewangannya akan berterusan termasuk dalam jangka masa terdekat," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan