KANGAR, 9 Dis (Bernama) -- Belanjawan 2026 Perlis dengan tema “Perlisku Bestari Rakyat Sejahtera” melibatkan peruntukan sebanyak RM359.58 juta, meningkat RM57.20 juta berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata jumlah itu menjadikan Belanjawan 2026 yang tertinggi dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata sebanyak RM244.42 juta atau 68 peratus disediakan di bawah perbelanjaan mengurus manakala RM115.16 juta atau 32 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.
“Secara keseluruhan, perbelanjaan mengurus 2026 meningkat RM48.31 juta berbanding 2025. Daripada jumlah itu, RM76.79 juta disediakan untuk bayaran emolumen dan RM102.14 juta bagi perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan (RM102.14 juta),
“RM51.10 juta di bawah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, RM12.57 juta untuk tujuan Aset dan Perbelanjaan-Perbelanjaan Lain RM1.82 juta,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2026 Perlis pada persidangan DUN Perlis di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.
Mohd Shukri berkata bagi peruntukan pembangunan, sebanyak RM30.10 juta atau 27 peratus dibiayai melalui pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi tujuan projek peningkatan prasarana untuk kemudahan rakyat.
“Peruntukan pembangunan bagi 2026 akan diagihkan kepada enam agensi pelaksana utama, iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sebanyak RM58.02 juta merangkumi Syarikat Air Perlis, Majlis Perbandaran Kangar dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis.
“Seterusnya Jabatan Kerja Raya sebanyak RM21.67 juta, Jabatan Pengairan dan Saliran (RM12.75 juta), Jabatan Perhutanan (RM12.57 juta), Jabatan Pertanian (RM6.85 juta) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (RM3.30 juta),” katanya.
Selain itu, Mohd Shukri berkata kerajaan negeri menganggarkan kutipan berjumlah RM217.59 juta pada tahun hadapan meliputi komponen Hasil Cukai sebanyak RM44.13 juta, Hasil Bukan Cukai (RM50.92 juta) dan Terimaan Bukan Hasil (RM122.54 juta).
“Berdasarkan anggaran ini, kutipan hasil negeri dijangka meningkat RM94.66 juta atau 77 peratus berbanding 2025. Dengan anggaran ini, kerajaan negeri diunjurkan mengalami defisit sebanyak RM26.83 juta pada 2026,” katanya.
Mohd Shukri berkata walaupun anggaran Belanjawan 2026 masih mencatatkan defisit namun angka itu ialah yang terendah jika dibandingkan dengan belanjawan lima tahun lepas.
“Justeru pada 2026, semua agensi pengutip cukai hendaklah meningkatkan kecekapan memungut cukai dengan mengatur tugasan dan merangka gerak kerja teratur bagi meningkatkan kutipan, mencegah ketirisan dan mengurangkan tunggakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Belanjawan 2026 Perlis dirangka dengan memfokuskan kepada tiga tekad utama iaitu Pertumbuhan Ekonomi Mampan, Pembangunan Infrastruktur Lestari dan Perlisku Bestari Berkebajikan.
“Belanjawan 2026 dirangka dengan setiap inisiatif dapat memberi manfaat langsung dan memudahkan urusan rakyat serta untuk membangunkan Perlis supaya terus makmur, sejahtera dan diberkati,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial