AM

Sekolah Antarabangsa Stellar Lancar Kampus Baharu, Terima Pengiktirafan ASEAN Records

09/12/2025 08:50 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Sekolah Antarabangsa Stellar di Johor Bahru, Johor melakar pencapaian penting dengan pelancaran Kampus Binaan Khas Stellar yang baharu, serta pengiktirafan oleh ASEAN Records sebagai sekolah antarabangsa pertama di Malaysia yang disenaraikan dalam arkib serantau itu.

Menurut kenyataan, Stellar Education Group memaklumkan institusi berkenaan diiktiraf sebagai First Mid-Sized International School to Achieve High Nationality Diversity and Rapid Online-Hybrid Learning Readiness Within an Affordable Fee Framework.

Dengan 693 pelajar dari 25 kewarganegaraan, pengiktirafan itu menonjolkan komitmen sekolah berkenaan terhadap kepelbagaian, pendidikan yang boleh diakses dan pembelajaran yang bersedia untuk masa hadapan. Pengumuman itu dibuat semasa majlis graduasi tahunan sekolah itu pada Jumaat lepas.

Ketua Pegawai Operasi Stellar Education Group Samuel Kang Hou En berkata kampus binaan khas baharu itu melambangkan komitmen jangka panjang kepada pelajar, keluarga dan komuniti yang lebih luas.

"Kami tidak memperkenalkan bangunan. Kami memperkenalkan satu tujuan, satu tanggungjawab dan satu janji kepada anak-anak kita," katanya dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kampus di Medini, Iskandar Puteri, Johor berkenaan dibangunkan dengan panduan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan merupakan antara projek infrastruktur pendidikan penting yang dimulakan di Johor dalam tempoh pascapandemik.

Kampus berkenaan direka untuk menampung 1,500 pelajar, dengan potensi peluasan hingga 2,200 pelajar pada masa hadapan, tertakluk pada proses pelesenan dan kelulusan yang diperlukan.

Direka oleh penerima Anugerah Pingat Emas PAM Dr Tan Loke Mun, sekolah itu menampilkan kemudahan berpusatkan pembelajaran termasuk dewan serbaguna, padang bola, dapur khas, teater black box, ruang galeri dan kolam renang.

"Dengan kemasukan dalam ASEAN Records dan pelancaran kampus binaan khas ini, Sekolah Antarabangsa Stellar terus mengukuhkan kedudukan sebagai satu daripada sekolah antarabangsa paling progresif di Johor dan rantau ini," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan