AM

GLC, Swasta Diseru Jadikan Program Tempat Kerja Bebas Dadah Piawaian Operasi - KM P.Pinang

08/12/2025 04:45 PM

GEORGE TOWN, 8 Dis (Bernama) -- Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan industri di negeri ini diseru menjadikan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) sebagai piawaian operasi dan bukan program sampingan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata program TEKAD bukan sekadar prosedur pematuhan undang-undang, sebaliknya merupakan satu pelaburan penting untuk masa depan organisasi. 

"Apabila pekerja bebas daripada pengaruh dadah, mereka mampu bekerja dengan lebih fokus, mengurangkan risiko kemalangan, meningkatkan produktiviti, memelihara imej organisasi serta menjadi aset yang bernilai kepada negeri dan negara.

"Di Pulau Pinang, kita sedang memacu pelbagai agenda pembangunan ekonomi, namun yang paling utama tetap melibatkan pembangunan modal insan, iaitu modal insan yang sihat fizikalnya, stabil emosinya dan teguh integritinya," katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Program TEKAD kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di sini hari ini.

PBAPP merupakan operator air pertama di Malaysia dan GLC negeri sulung yang menerima pengiktirafan berkenaan.

Chow berkata kejayaan PBAPP membuktikan kepimpinan yang jelas, dasar yang tegas dan komitmen organisasi berkenaan dalam memelihara kebajikan pekerja serta menegakkan nilai integriti dalam operasi harian.

Beliau berkata kejayaan PBAPP melaksanakan TEKAD dalam organisasi besar dengan lebih 1,500 pekerja membuktikan program berkenaan boleh dicontohi oleh banyak organisasi lain di seluruh negeri.

“Kita ingin melihat Pulau Pinang bukan sahaja maju, tetapi negeri yang rakyatnya sihat, produktif dan bebas daripada pengaruh dadah. Ini selari dengan gagasan Visi Penang2030,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan