EKONOMI

Malaysia Catat Eksport Getah, Produk Berasaskan Getah Lebih RM33 Bilion Setahun - Johari

08/12/2025 12:45 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Malaysia mencatatkan lebih RM33 bilion nilai eksport getah dan produk berasaskan getah setahun dengan kekuatan teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dibangunkan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata walaupun Malaysia kini mengimport purata RM7.5 bilion getah asli setahun akibat kekurangan pengeluaran dalam negara, kekuatan teknologi hiliran dan pemprosesan membolehkan negara mengekalkan eksport bernilai tinggi.

“Jika kita lihat dari segi ladang, Malaysia mempunyai 1.1 juta hektar namun hanya kira-kira 60 peratus yang diusahakan. Kita masih ada lagi 40 peratus untuk ladang-ladang getah yang tidak diusahakan.

“Oleh itu, Kementerian Perladangan dan Komoditi komited untuk memastikan 400,000 hektar tanah tidak aktif dapat dimanfaatkan dengan penanaman getah,” katanya pada Majlis Sambutan 100 Tahun Penyelidikan Getah di sini hari ini.

Katanya setakat hari ini, jumlah pengeluaran dalam negara dianggarkan sekitar 350,000 tan metrik dan jumlah ini masih dikategorikan sebagai mapan, namun permintaan terhadap produk tersebut mencecah lebih 1 juta tan metrik.

“Jika pelabur dalam sektor ini dapat terlibat dengan lebih agresif, ia akan mengukuhkan kedudukan negara, khususnya Malaysia merupakan penggerak utama dalam R&D serta teknologi dalam industri tersebut,” katanya.

Johari berkata sejak ditubuhkan, Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah mengkomersialkan lebih 200 teknologi R&D dan mendaftarkan 394 paten, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat inovasi getah global.

Sementara itu, Pengerusi LGM Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata bersempena sambutan itu, LGM telah menggubal dan melancarkan Buku Strategi 2026-2030 bagi mendepani cabaran global, keperluan pematuhan antarabangsa dan tuntutan kelestarian.

“LGM telah menetapkan hala tuju yang jelas ke arah masa depan yang didominasi oleh revolusi perindustrian.

“Strategi LGM 2026-2030 memperuntukkan fokus khusus kepada teknologi canggih seperti Kecerdasan Buatan (AI), robotik, dan automasi selaras dengan transformasi digital dan pengoptimuman sumber organisasi,” katanya

Ahmad Badri berkata sambutan 100 tahun ini bukanlah pengakhiran, tetapi permulaan kepada bab yang baharu, ia adalah simbol keupayaan manusia mengubah sumber alam menjadi teknologi untuk masa depan.

“Saya menyeru kepada semua, para penyelidik, pengusaha dan komuniti global untuk terus bekerjasama, berinovasi dan melangkah ke hadapan bersama-sama.

“Mari kita memastikan getah Malaysia kekal relevan, berdaya saing dan terus menjadi komoditi penting untuk generasi akan datang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan