AM

Hakim Besar Malaya Berikrar Laksana Pembaharuan Bagi Tingkat Kecekapan Mahkamah

03/12/2025 09:00 PM

PUTRAJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Hakim Besar Malaya yang baharu dilantik Datuk Hashim Hamzah berikrar untuk memperkukuh sistem penyampaian keadilan dengan menekankan kepentingan hakim menyediakan alasan penghakiman serta mempercepatkan prosiding mahkamah.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman, Hashim berkata pelantikannya ke jawatan ketiga tertinggi dalam badan kehakiman itu hadir dengan tanggungjawab.

“Anda mesti ingat, sebagai Hakim Besar Malaya, bidang kuasa saya luas, meliputi seluruh Semenanjung,” katanya sambil menambah terdapat 393 hakim Mahkamah Sesyen, Majistret, hakim Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Kehakiman di seluruh Semenanjung Malaysia setakat Oktober 2025.

Menyifatkan tanggungjawab itu sebagai “sukar”, namun beliau berkata tugas berkenaan tetap perlu dilaksanakan.

Beliau berkata misi pertamanya ialah memantau para hakim dalam melaksanakan tugas mereka untuk menyediakan alasan penghakiman bertulis, terutamanya bagi kes-kes yang dirayu ke Mahkamah Rayuan.

“Saya melihat ada yang tidak menulis alasan penghakiman. Jika anda tidak menulis alasan itu, ia akan menjejaskan prosiding di Mahkamah Rayuan,” katanya sambil menambah beliau tidak mahu perkara itu berlaku.

Beliau yang merupakan Hakim Besar Malaya ke-15 berkata terdapat beberapa kes di beberapa mahkamah khususnya di Kuala Lumpur dan Shah Alam yang menyaksikan tarikh pendengaran telah ditetapkan pada 2027 dan 2028, yang disifatkannya sebagai terlalu lama bagi pihak litigan.

Hashim berkata untuk menangani perkara itu, beliau perlu mencari jalan untuk mempercepatkan tarikh pendengaran termasuk kemungkinan meminta lebih banyak Pesuruhjaya Kehakiman.

"Saya akan mencari jalan untuk mempercepatkannya," katanya sambil mengaitkan jumlah kes yang tinggi di mahkamah tertentu dengan peningkatan pertikaian undang-undang.

Hashim menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan semua pihak yang terlibat dalam proses pelantikannya sebagai Hakim Besar Malaya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan