Oleh D.Arul Rajoo
HAINAN (China), 3 Dis (Bernama) -- Mesyuarat Lembaga Eksekutif ke-57 Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia Pasifik (OANA) berlangsung di sini pada Rabu dengan memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI) dan transformasi media serta keselamatan wartawan.
Dalam ucapan pembukaannya, Presiden Agensi Berita Xinhua, Fu Hua berkata AI memberi kesan besar terhadap industri media.
“Dengan AI, semua orang boleh menulis. Tetapi bagaimana kita mahu membezakan antara berita palsu dan berita benar,” katanya pada Forum Boao untuk Asia yang berlangsung di wilayah paling selatan China itu.
Beliau berkata Xinhua kini menggunakan lebih 200 alat untuk membangunkan dan meningkatkan ketepatan berita, sambil menambah bahawa agensi itu bersedia berkongsi dan bekerjasama dengan agensi-agensi anggota OANA.
Mesyuarat itu turut menyeru supaya keselamatan wartawan diberi keutamaan, khususnya mereka yang bertugas di kawasan bergolak dan membuat liputan konflik ketenteraan.
“Wartawan di barisan hadapan menjalankan khidmat awam, menangkis maklumat salah dan mempertahankan hak asasi manusia untuk mengetahui. Perlindungan hak wartawan mesti kekal sebagai satu daripada keutamaan institusi kerajaan di semua negara,” kata OANA.
Mesyuarat dua hari itu dipengerusikan oleh Presiden OANA merangkap Ketua Pengarah Agensi Berita Rusia TASS Andrei Kondrashov.
Mesyuarat Lembaga Eksekutif ke-57 turut disertai ahli lembaga dari 10 agensi berita, termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.
Lembaga Eksekutif turut memutuskan bahawa Agensi Berita Qatar dan Agensi Berita Vietnam akan masing-masing menjadi tuan rumah mesyuarat ke-58 dan ke-59 tahun depan.
Ditubuhkan pada 1961 atas inisiatif Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), OANA menghimpunkan 42 agensi berita dari 35 negara di rantau Asia Pasifik dan anggotanya menyumbang dua pertiga daripada maklumat yang diedarkan di seluruh dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial