KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di empat negeri menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa yang berlindung di pusat permindahan sementara (PPS) terus berkurangan kepada 4,062 orang petang ini, berbanding 4,604 orang pagi tadi.
Di PERLIS, situasi banjir di negeri itu semakin pulih apabila jumlah mangsa terus berkurangan kepada 288 orang dengan satu lagi PPS ditutup setakat 4 petang ini, berbanding 331 mangsa berada di empat PPS pagi tadi.
Berdasarkan data Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis, tiga lagi PPS masih beroperasi iaitu di kawasan Padang Besar dan Arau.
Di PERAK, situasi banjir petang ini semakin baik dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 3,002 orang daripada 872 keluarga yang masih berlindung di 19 PPS di lima daerah, berbanding 3,156 orang daripada 927 keluarga pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan daerah Hilir Perak merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,471 orang manakala Bagan Datuk sebanyak 830 mangsa, Manjung (438), Perak Tengah (248) serta Larut, Matang dan Selama (15).
Di SELANGOR, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS terus mencatatkan penurunan kepada 740 individu daripada 234 keluarga petang ini berbanding 993 daripada 291 keluarga pagi tadi.
Menurut laman web Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah PPS yang masih beroperasi turut berkurangan kepada sembilan berbanding 19 pagi tadi melibatkan dua daerah iaitu Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Di PAHANG, kesemua PPS di daerah Bera ditutup menjadikan hanya 32 mangsa daripada tujuh keluarga masih berlindung di dua PPS di negeri ini berbanding 124 orang daripada 34 keluarga yang berada di enam PPS pagi tadi.
Menurut InfoBencana JKM, 25 mangsa daripada enam keluarga di Maran dan tujuh orang sekeluarga di Kuantan masing-masing masih ditempatkan di sebuah PPS di daerah terbabit setakat 3.10 petang tadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial