EKONOMI

Malaysia Dijangka Capai 49 Peratus Sasaran SDG Menjelang 2030 - Hanifah Hajar

03/12/2025 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Malaysia dijangka mencapai 49 peratus daripada 169 sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjelang 2030 berdasarkan analisis data 2023, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib.

Beliau berkata unjuran itu mengatasi purata global 18 peratus yang dilaporkan pada 2025.

“Dua matlamat mencatatkan pencapaian tertinggi, iaitu SDG 4 Pendidikan Berkualiti (70 peratus) dan SDG 12 Pengeluaran dan Penggunaan Bertanggungjawab (64 peratus), didorong akses pendidikan yang menyeluruh serta peningkatan kadar kitar semula dan pengurusan sisa berbahaya yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) mengenai matlamat SDG yang menunjukkan pencapaian paling ketara serta matlamat yang masih menjadi cabaran utama bagi Malaysia menjelang 2030.

Menjelaskan selanjutnya, Hanifah Hajar berkata lapan lagi SDG berada di atas purata pencapaian nasional seperti SDG 5 Kesaksamaan Gender, SDG 7 Tenaga Mampu Milik dan Bersih, SDG 11 Bandar dan Komuniti Mampan serta SDG 17 Perkongsian Demi Matlamat.

“Sementara itu, tujuh matlamat mencatatkan unjuran lebih rendah, termasuk SDG 1 Tiada Kemiskinan, SDG 2 Sifar Kelaparan, SDG 10 Mengurangkan Ketidaksamaan dan SDG 16 Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh,” kataya.

Antara cabaran utama, katanya, adalah koordinasi antara agensi, kekurangan data lengkap, jurang pembangunan negeri, isu biodiversiti, impak perubahan iklim serta tahap kesedaran awam yang rendah.

Beliau menegaskan pencapaian SDG memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk kementerian peneraju, kerajaan negeri, sektor swasta, akademia, NGO dan masyarakat sivil bagi memastikan Malaysia mencapai Agenda 2030.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), SDG ini merangkumi 17 matlamat, 169 sasaran dan 244 indikator untuk mengukur pencapaian pembangunan sejagat yang terdiri daripada aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Malaysia dan 193 negara lain telah menyatakan komitmen untuk menyokong dan melaksanakan Agenda 2030 dan SDG bertemakan “Leaving No One Behind” (Tiada Yang Terpinggir).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan