AM

Perbahasan RUU Antibuli Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

03/12/2025 08:17 AM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 menjadi antara tumpuan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, RUU itu dijadual dibentangkan bagi bacaan kali kedua untuk dibahas dan diluluskan Ahli-ahli Parlimen, usai sesi soal jawab lisan.

Dalam pada itu, antara soalan dibangkitkan pada sesi soal jawab lisan termasuk pertanyaan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) berhubung sama ada Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan untuk menggantikan skim subsidi kerajaan sedia ada dengan bantuan sosial melalui MyKad berikutan kejayaan pelaksanaan mekanisme agihan program SARA.

Pada sesi sama, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) bertanyakan Menteri Ekonomi mengenai perkembangan rancangan pengelasan bantuan kerajaan berdasarkan pendapatan boleh guna bagi memastikan agihan subsidi lebih adil termasuk kepada sebahagian golongan T20 yang turut menghadapi tekanan kos sara hidup.

Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) pula bertanyakan Menteri Komunikasi berhubung rancangan kementerian untuk pindaan Akta FINAS 1981 berkenaan peraturan untuk kandungan dalam talian seperti kandungan melalui platform penstriman dan juga media sosial.

Turut menarik perhatian, soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) kepada Menteri Pendidikan sama ada kementerian mempunyai rancangan untuk melantik warden sebagai jawatan khusus di sekolah-sekolah yang memerlukan warden.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat yang berlangsung selama 35 hari akan berakhir Khamis ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan