SHAH ALAM, 2 Dis (Bernama) -- Polis mengesahkan individu yang maut dalam kejadian tembak di sekitar kawasan Taman Mesra Indah, Klang dekat sini tiga hari lepas mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan dadah.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata rekod itu melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 15 dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Hingga kini masih belum ada tangkapan dilakukan. Polis akan menyiasat dari seluruh aspek, kita masih pada peringkat awal siasatan, tidak wajar untuk kita menjurus kepada aspek-aspek yang tertentu," katanya pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, di sini hari ini.
Shazeli berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa berusia 26 tahun itu disebabkan oleh multiple gunshot wound to the chest akibat lima das tembakan secara jarak dekat.
Beliau berkata setakat ini, siasatan mendapati kes itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes sama yang berlaku di Bukit Tinggi, Klang pada 7 Nov lepas.
"Bagi kes tembak di Bukit Tinggi, seorang suspek yang ditahan sebelum ini telah diberi jaminan polis kerana siasatan mendapati tiada keterangan untuk dikaitkan dengan kejadian tersebut, jadi siasatan masih diteruskan," katanya.
Pada 30 Nov, polis Selangor mengesahkan menerima maklumat berhubung satu kejadian tembak di kawasan Taman Mesra Indah, Klang.
Media sebelum ini melaporkan mangsa, warganegara tempatan ditemukan maut di bahagian tempat duduk hadapan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial