AM

MPM Giat Laksana Pembersihan, Baik Pulih Fasiliti Di Teluk Batik

28/11/2025 09:38 PM

IPOH, 28 Nov (Bernama) -- Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sedang giat melakukan kerja-kerja pembersihan dan membaik pulih fasiliti di Pantai Teluk Batik dekat Lumut yang terjejas susulan fenomena air pasang dan ombak besar sejak minggu lepas.

Menurut Unit Pengurusan dan Pelancongan Teluk Batik MPM, air pasang dan ombak besar melanda kawasan berkenaan sejak 23 hingga 25 Nov lepas.

"Fenomena air pasang dan ombak besar itu menyebabkan hakisan serta beberapa batang pokok tumbang selain fasiliti berhampiran pantai turut mengalami kerosakan," katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Menurut kenyataan itu, nilai kerugian membabitkan kerosakan fasiliti di kawasan tersebut masih dalam penilaian oleh jabatan berkaitan.

Pihak MPM masih lagi menutup kawasan sekitar Pantai Teluk Batik daripada segala aktiviti air sejak 25 Nov lepas.

Terdahulu Bernama melaporkan fenomena ombak besar setingggi kira-kira dua meter telah mengakibatkan kawasan persisiran pantai itu mengalami hakisan teruk. 

Tinjauan di lokasi berkenaan mendapati berlaku hakisan pantai sepanjang kira-kira 200 meter sehingga menyebabkan beberapa pokok kelapa dan pokok ketapang tumbang akibat dihempas ombak besar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan