POLITIK

TM Perluas Program TMFS Di 35 Sekolah, Beri Manfaat Lebih 60,000 Pelajar

26/11/2025 07:36 PM

GEORGE TOWN, 26 Nov (Bernama) -- Program Telekom Malaysia Berhad (TM) Future Skills (TMFS) dijangka memberi manfaat kepada lebih 60,000 pelajar di seluruh negara melalui pembelajaran bersama, latihan digital dan peningkatan kesiapsiagaan guru.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Amar Huzaimi Md Deris berkata program oleh Yayasan TM (YTM), cabang tanggungjawab sosial TM itu akan diperluaskan ke 35 sekolah di seluruh negara di bawah inisiatif Sekolah Angkat MADANI.

“TMFS memainkan peranan penting dalam membangunkan bakat digital masa depan negara dan dengan diperluaskan kepada 35 sekolah, TM membantu lebih banyak pelajar memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia digital.

“Ini mencerminkan matlamat luhur TM sebagai pembina negara untuk memupuk bakat, meluaskan penyertaan digital dan menyokong masa depan yang lebih inklusif untuk semua rakyat Malaysia, selaras dengan aspirasi kami untuk menjadi kuasa digital menjelang 2030,” katanya pada Majlis Peluncuran TMFS di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) (P) Al-Mashoor di sini hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying merasmikan program berkenaan, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Mohamad Dziauddin Mat Saad dan Pengerusi TM Datuk Zainal Abidin Putih.

Sementara itu, Lim berkata pogram seperti TMFS menjadi komponen penting dalam mendedahkan pelajar kepada asas digital dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) agar mereka bersedia menyertai sektor bernilai tinggi memandangkan negara memerlukan bakat yang bukan sahaja celik teknologi tetapi mampu berfikir secara kritis, kreatif dan bersedia untuk memimpin dunia digital masa depan.

Beliau berkata inisiatif TMFS juga selari dengan hala tuju besar negara melalui Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan TM mengambil pendekatan yang mampan dengan menyediakan bilik digital, peralatan STEM, latihan guru, latihan murid, pembangunan sukan dan aktiviti sahsiah menerusi program Sekolah Angkat MADANI itu.

“Kementerian Kewangan sebagai penyelaras, memastikan setiap penyertaan industri benar-benar memberi nilai jangka panjang dan meningkatkan kapasiti sekolah yang diangkat selari dengan Kerangka Ekonomi MADANI yang memperkasa ekonomi rakyat melalui peluang pendidikan menyeluruh dan inklusif,” katanya.

Dalam pada itu, TM dalam kenyataan memaklumkan TMFS menyediakan pendedahan berstruktur kepada subjek STEM melalui pembelajaran berasaskan amali dan aplikasi sebenar termasuk robotik, reka bentuk 3D, pengekodan, mikropengawal serta alat pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Selain modul STEM, TMFS turut menawarkan pensijilan guru, latihan kemahiran digital dan insaniah termasuk pembelajaran AI dan kemahiran komunikasi serta aktiviti pembangunan keupayaan di luar bilik darjah seperti sukan dan pertandingan akademik dalam usaha memastikan pengalaman pembelajaran kemahiran masa depan yang lebih menyeluruh dan bersepadu bagi semua sekolah yang terlibat. 

Antara ciri utama program berkenaan ialah TMFS Digital Hub, yang dilengkapi pencetak 3D, kit robotik serta set pengaturcaraan dan pengekodan bagi membolehkan pelajar mengaplikasikan konsep pembelajaran melalui aktiviti dunia sebenar.

“Sekolah ‘nukleus’ terpilih seperti SMKA (P) Al-Mashoor juga akan memperluas manfaat Hub Digital mereka kepada sekolah-sekolah satelit di sekitar, sekali gus meningkatkan jangkauan program,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan