Oleh Fadzli Ramli
KOTA KINABALU, 26 Nov (Bernama) -- Pengundi perlu menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menilai setiap janji yang ditawarkan oleh parti politik dalam manifesto pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sebelum membuat keputusan kerana tiada jaminan janji berkenaan mampu dilaksanakan.
Penyelidik Unit Kajian Pilihan Raya dan Geopolitik Borneo (GeoPES) Universiti Malaysia Sabah Dr Azizan H Morshidi berkata parti politik di Malaysia tidak terikat dengan undang-undang untuk melaksanakan janji pilihan raya sebaliknya terpulang kepada kejujurannya untuk berbuat demikian atau tidak.
Beliau berkata hal ini kerana di Malaysia, manifesto cuma dilihat sebagai dokumen politik bukannya dokumen rasmi atau yang mengikat dari segi perundangan.
“Jika mereka tidak laksanakan apa dijanjikan kepada pengundi setelah dipilih, adakah pengundi akan percaya lagi kepada parti ini pada pilihan raya seterusnya?
“Inilah faktor mengikat yang sebenarnya walaupun sukar untuk menanggungjawabkan parti melaksanakan manifesto itu tetapi pengundi akan menilai... jadi, nilai sebaiknya sejauh mana parti itu dapat melaksanakan manifesto mereka,” katanya kepada Bernama.
Azizan berkata biarpun manifesto hanya bersifat dokumen politik, beliau menegaskan bahawa ia tetap penting sebagai instrumen bagi pengundi mengukur keupayaan sesebuah parti politik melaksanakan janjinya.
"Melalui manifesto, kita boleh mengkaji posisi parti-parti politik, merangka kedudukan ataupun agenda mereka, dan juga kebertanggungjawaban mereka sebagai parti politik di dalam sistem bersifat demokratik," katanya.
Beliau berkata dalam menilai manifesto, sentimen tidak harus menjadi faktor utama sebaliknya perlu lebih kepada ketulenan janji itu sama ada logik, fantasi atau realiti serta sejauh mana ia boleh dilaksanakan.
Azizan berkata antara alasan yang sering diberikan oleh parti politik yang gagal melaksanakan manifesto mereka adalah sumber kewangan tidak mencukupi, justeru pengundi perlu menilai manifesto sama ada realistik atau sebaliknya berdasarkan kedudukan kewangan negeri.
“Jika kita bermula begitu, saya pasti dan yakin kita boleh membuat keputusan yang lebih bijak... kita fikir antara agenda parti dengan realiti sebenar,” katanya.
Merujuk kepada manifesto yang dibentangkan oleh parti politik pada PRN kali ini amat menarik, Azizan berkata beliau melihat terdapat kekurangan dalam menawarkan pendigitalan terutama kecerdasan buatan (AI) yang dilihat penting pada era ini.
“Lima dimensi berkaitan AI sebenarnya boleh dilaksanakan dalam manifesto iaitu penggunaan AI dalam membangunkan ekonomi dan pelbagai sektor, AI dalam khidmat awam dan pentadbiran, infrastruktur AI, bakat dan modal insan AI serta etika AI.
“… tetapi dalam perkara ini, mungkin ada perkara yang perlu diselesaikan iaitu meningkatkan tahap liputan dan kelajuan Internet terlebih dahulu sebelum kita push AI ini untuk Sabah,” katanya.
Tempoh berkempen bagi PRN Sabah ke-17 bermula 15 Nov lepas dan akan berakhir pada 11.59 malam 28 Nov manakala hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial