EKONOMI

Polymer Link Sasar Kuasai Pasaran Australia Dengan Gudang Baharu

25/11/2025 01:31 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Pengilang serbuk plastik, Polymer Link Holdings Bhd (Polymer Link) merancang untuk membangunkan sebuah gudang baharu di Australia, susulan penampilan sulungnya di Pasaran ACE, bertujuan memacu prestasi serantau kumpulan itu sebaik sahaja ia mula beroperasi.

Naib Presiden Kanan Kumpulannya, Koh Tat Chuan berkata kemudahan itu dijangka beroperasi sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga enam bulan, sambil memberi jaminan bahawa operasi semasanya di negara itu akan diteruskan tanpa gangguan sepanjang tempoh terbabit. 

Gudang baharu itu akan dibangunkan di Brisbane. Syarikat itu sudah mempunyai kemudahan operasi di Melbourne dan Sydney. 

“Semasa kami membangunkan gudang ini, kami masih meneruskan memenuhi permintaan pelanggan kami di rantau ini (Australia),” katanya pada sidang media pasca penyenaraian secara maya hari ini. 

Pada 9 pagi, Polymer Link yang membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 25 sen, iaitu tidak berubah daripada harga tawaran awam permulaannya, dengan 10.57 juta saham diniagakan. 

Sementara itu, Ketua Rantaian Bekalan dan Pentadbirannya, Koh Tat Wei berkata syarikat itu sedang aktif meneroka peluang kerjasama di Eropah sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjangnya. 

“Kami telah mengenal pasti (beberapa) pihak yang kami berminat untuk menjalinkan kerjasama dalam pasaran Eropah.

“Kami memang melihat wujudnya keperluan untuk meluaskan asas perolehan kami, dan itu yang menjadi faktor kami menyasarkan Eropah,” katanya.  

Beliau berkata buat permulaan pengembangan syarikat itu akan bermula di Poland dan seterusnya memacu pembangunan pasaran bagi rantau tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan