POLITIK

Tiada Rekod Warisan Jayakan 17 Tuntutan MA63 - Armizan

23/11/2025 09:21 PM

KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) -- Tiada sebarang rekod menunjukkan Parti Warisan (Warisan) berjaya menyelesaikan 17 tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sepanjang parti itu menerajui Kerajaan Negeri Sabah dari 2018 hingga 2020.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata beliau telah mendengar dakwaan itu sejak 2023 dan kini kembali 'berkumandang' sebagai bahan kempen parti berkenaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Armizan yang pernah berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) serta mengetuai Urus Setia MA63 di Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak berkata berdasarkan dokumen urus setia, tiada bukti menunjukkan 17 perkara itu telah diselesaikan.

"Saya pernah bangkitkan persoalan ini kepada Warisan pada 2023 dan akhirnya respons adalah belum selesai, tetapi telah dipersetujui.

"Kini menjelang pilihan raya, mereka kembali bermodalkan 'kejayaan 17' dalam MA63. Saya menegaskan isu MA63 penting untuk Sabah dan tidak boleh ditunggang sebagai modal politik pada PRN ini," katanya dalam kenyataan malam ini.

 

Beliau berkata dalam tadbir urus kerajaan, frasa seperti persetujuan secara prinsip atau kelulusan dasar tidak bermakna sesuatu perkara itu telah diluluskan sepenuhnya sebagaimana dituntut dan lebih penting tidak semua perkara yang dipersetujui secara dasar akan dilaksanakan.

Armizan yang memimpin Urus Setia MA63 dari Dis 2022 hingga Dis 2023 berkata beliau tidak pasti apakah 17 perkara yang didakwa berjaya diselesaikan oleh Warisan itu dan menyerahkan kepada parti berkenaan untuk menjelaskannya.

Beliau berkata dalam tempoh setahun memimpin urus setia berkenaan, terdapat lima perkara yang telah dibincangkan, dipersetujui dan dilaksanakan melalui pelbagai instrumen rasmi.

Hari mengundi PRN Sabah Ke-17 ditetapkan pada 29 Nov ini dan pengundian awal pada 25 Nov. 

Untuk berita terkini PRN Sabah, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan