KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kenya bermula hari ini dijangka memperkukuhkan lagi hubungan dua hala serta ekonomi antara kedua-dua negara, antaranya dalam sektor ekonomi digital dan perumahan.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya Ruzaimi Mohamad berkata Anwar dijangka tiba di Nairobi, ibu negara Kenya hari ini pada jam 6 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia), diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Perdana Menteri yang mengetuai delegasi Malaysia itu baru sahaja selesai menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) di Johannesburg, Afrika Selatan.
Sejurus sampai ke Nairobi, Anwar akan menghadiri State Banquet atau Jamuan Makan Malam yang dihoskan Presiden Kenya William Samoei Ruto di kediaman rasmi beliau yang dikenali sebagai the State House, kata Ruzaimi.
Keesokannya, beliau berkata, Perdana Menteri akan ke State House sekali lagi untuk acara sambutan rasmi ketibaan beliau sempena lawatan rasmi ke Kenya.
Menerusi sidang media yang diadakan secara dalam talian pada Sabtu, Ruzaimi berkata antara agenda utama di Nairobi adalah pertemuan empat mata antara Anwar dan William Samoei Ruto, yang merupakan antara agenda utama Perdana Menteri, disusuli dengan mesyuarat bilateral antara kedua negara.
Mengulas mengenai hubungan antara kedua negara, Ruzaimi berkata hubungan antara Malaysia dan Kenya dilihat semakin erat terutama dari segi perdagangan, pendidikan, sains dan teknologi.
Selain pelaburan, Ruzaimi berkata antara perkara yang bakal dibincangkan kedua-dua pemimpin berkenaan adalah projek rumah mampu milik.
"Presiden Kenya adalah seorang yang begitu aktif dalam menerajui projek rumah mampu milik.
"Jadi Malaysia sangat dikenali ataupun diketahui berjaya dalam projek seumpama itu yang membolehkan ramai rakyat Malaysia memiliki rumah, kita boleh memberikan kerjasama kepada pihak Kenya untuk mereka menjayakan projek yang sama," kata beliau.
Selain itu, Ruzaimi berkata ekonomi digital juga dilihat antara sektor yang berpotensi untuk diteroka syarikat Malaysia di Kenya.
Menurutnya, selepas selesai mesyuarat dua hala, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) serta dokumen kerjasama, antaranya dalam bidang pelancongan serta antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Nairobi City Council.
Seterusnya, Perdana Menteri dijadualkan menghadiri Forum Pendidikan Tinggi Malaysia- Afrika di Nairobi dan seterusnya menyampaikan ucaptama serta merasmikan program berkenaan.
“Anwar juga akan menyampaikan ucaptama di Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-Kenya yang akan dihadiri seramai 200 wakil pelbagai syarikat Malaysia dan Kenya.
"Dalam program itu, Anwar juga akan bertemu dan berinteraksi dengan wakil syarikat yang hadir," kata Ruzaimi.
Selain itu, katanya, Perdana Menteri juga dijadualkan mengadakan pertemuan bersemuka dengan sebuah syarikat Kenya yang berhasrat menjalinkan kerjasama pelaburan dalam bidang pertanian dengan sebuah syarikat Malaysia.
Selepas itu, Anwar juga dijangka bertemu dengan pemimpin serta wakil komuniti Islam Kenya daripada Nairobi Jamia Mosque, masjid terbesar di Nairobi.
Pada pertemuan itu, Perdana Menteri akan menyampaikan sumbangan naskhah kitab suci Al-Quran dengan terjemahan dalam Bahasa Swahili iaitu bahasa rasmi Kenya.
Ruzaimi berkata sebelum mengakhiri lawatan rasminya, Anwar akan menghadiri majlis makan tengahari bersama rakyat Malaysia, yang juga akan dihadiri alumni peserta program di bawah tajaan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
MTCP merupakan program latihan jangka pendek di bawah kerajaan Malaysia yang ditawarkan kepada negara membangun di seluruh dunia, termasuk Kenya.
Program tersebut diperkenalkan pada tahun 1980 sebagai komitmen Malaysia untuk berkongsi pengalaman pembangunan dengan negara sedang membangun.
Di bawah program ini, Malaysia menawarkan pelbagai kursus latihan jangka pendek, biasiswa, serta program pembangunan kapasiti dalam bidang seperti pentadbiran awam, pendidikan, teknologi, ekonomi, dan pengurusan sosial.
Setakat ini, lebih 600 pegawai di Kenya telah mendapat manfaat daripada program tersebut, katanya.
Kenya merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika dengan jumlah perdagangan sebanyak RM5.7 bilion pada 2024, meningkat 1.2 peratus berbanding RM5.51 bilion pada 2023.
Perdana Menteri dijadualkan berangkat pulang ke tanah air dari Nairobi selepas acara itu, sekali gus mengakhiri siri lawatan ke tiga negara di benua Afrika, iaitu Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya yang bermula 18 hingga 24 Nov, 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial