KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Inflasi Malaysia susut kepada 1.3 peratus pada Oktober 2025, berbanding 1.5 peratus pada September 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Oktober 2025 yang dikeluarkan hari ini, DOSM berkata penyederhanaan itu didorong terutamanya oleh kenaikan harga yang lebih perlahan dalam kumpulan makanan dan minuman, yang meningkat 1.5 peratus (Sept: 2.1 peratus) dan dalam kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, yang mencatatkan kenaikan 1.1 peratus (Sept: 1.5 peratus).
Katanya, peningkatan harga dalam penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan sebanyak 6.0 peratus (Sept 2025: 4.8 peratus), perkhidmatan penginapan dan restoran sebanyak 3.4 peratus (Sept 2025: 3.3 peratus); kesihatan sebanyak 1.5 peratus (Sept 2025: 1.3 peratus); rekreasi, sukan dan kebudayaan sebanyak 1.2 peratus (Sept 2025: 0.9 peratus); dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah sebanyak 0.3 peratus (Sept 2025: 0.2 peratus).
Selain itu, perkhidmatan kewangan dan insurans (5.6 peratus), pendidikan (2.4 peratus), minuman beralkohol dan tembakau (0.3 peratus) kekal tidak berubah dari September 2025.
Bagaimanapun, maklumat dan komunikasi (-2.4 peratus), pakaian dan kasut (-0.3 peratus) dan pengangkutan (-0.1 peratus) mencatatkan penurunan pada Oktober.
Menurut DOSM, inflasi teras meningkat kepada 2.2 peratus pada Oktober 2025, daripada 2.1 peratus pada September, didorong oleh peningkatan harga dalam penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (6.0 peratus), perkhidmatan penginapan dan restoran (3.4 peratus), kesihatan (1.5 peratus), rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.2 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.3 peratus).
Di samping itu, makanan dan minuman (2.5 peratus), pengangkutan (2.0 peratus) merekodkan peningkatan lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya.
DOSM berkata kira-kira 60 peratus daripada item (344 daripada 573) merekodkan peningkatan harga.
Daripada jumlah itu, 335 item (97.4 peratus) meningkat sebanyak 10 peratus atau kurang, manakala hanya sembilan item meningkat lebih 10 peratus pada Oktober 2025.
Baki 181 item (31.6 peratus) menunjukkan penurunan, dan 48 barangan kekal tidak berubah.
“Pada tahap tertentu, harga item yang dikawal telah mengurangkan kadar inflasi pada Oktober 2025.
“Antara item yang kekal tidak berubah berbanding dengan bulan yang sama pada tahun sebelumnya ialah gas masak (tong) bagi penggunaan domestik, rokok dan petrol tanpa plumbum RON95 dan bayaran perubatan hospital kerajaan.
“Antara barangan yang menunjukkan peningkatan yang ketara, termasuk barang kemas (44.3 peratus) kelapa parut (27.0 peratus), santan segar (29.2 peratus), lemon (22.3 peratus) dan perkhidmatan pemasangan paip (14.7 peratus),” katanya.
Pada peringkat negeri, DOSM melaporkan bahawa kebanyakan negeri mencatatkan kadar inflasi di bawah paras nasional sebanyak 1.3 peratus, dengan Kelantan mencatatkan kadar terendah pada 0.1 peratus pada Oktober 2025.
Bagaimanapun, enam negeri merekodkan inflasi di bawah paras nasional iaitu Johor (1.9 peratus), Negeri Sembilan (1.7 peratus), Selangor (1.6 peratus), Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur (1.6 peratus), Melaka (1.4 peratus) dan Terengganu (1.4 peratus).
Semua negeri mencatatkan peningkatan dalam harga makanan dan minuman, dengan Kelantan merekodkan inflasi terendah iaitu pada -0.6 peratus.
Sementara itu, lapan negeri merekodkan inflasi makanan dan minuman melebihi purata paras nasional sebanyak 1.5 peratus.
Ia termasuk Negeri Sembilan (2.6 peratus), WP Labuan (2.5 peratus), Melaka (2.3 peratus, Pahang (2.1 peratus), WP Kuala Lumpur (2.0 peratus), Johor (1.9 peratus), Selangor (1.7 peratus) dan Terengganu (1.7 peratus), manakala baki negeri terlibat mencatatkan peningkatan yang sama atau di bawah purata nasional.
Berbanding dengan negeri-negeri terpilih di rantau Asia Pasifik, inflasi di Malaysia (1.3 peratus) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Filipina (1.7 peratus), Indonesia (2.9 peratus) dan Korea Selatan (2.4 peratus) tetapi lebih tinggi dari China (0.2 peratus).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial