TUMPAT, 19 Nov (Bernama) -- Seorang mudir yang juga pengusaha sebuah sekolah pondok dikenali sebagai 'Abuya' hari ini didenda RM1,950 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengajar tanpa tauliah dan mengelola guru agama tanpa kebenaran.
Mohamad Aswadi Yah, 46, yang tidak diwakili peguam, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Dr Wan Azimin Wan Adnan.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Aswadi didakwa mengajar atau menyampaikan apa-apa perkara berkaitan agama Islam tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis Agama Islam Kelantan dan mengelola atau menyelia guru agama tanpa kebenaran.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 117 dan Seksyen 118 Enakmen Majlis Agama Islam Kelantan Bilangan 4 Tahun 1994 yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Sebelum ini, media melaporkan pondok milik Abuya diarahkan tutup operasi pada 23 Okt lepas dan tindakan diambil mengikut Seksyen 133 serta 135 Kaedah 37 Kaedah-Kaedah Pendaftaran dan Pengawalan Sekolah dan Institusi Pengajian Agama 1987.
Selain penutupan, notis kesalahan mengajar tanpa tauliah dan mengelola guru agama tanpa kebenaran turut dikeluarkan terhadap mudirnya mengikut Seksyen 117 serta Seksyen 118.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial