AM

Terima Peruntukan Terbesar Belanjawan Bukti Kerajaan Persekutuan Komited Bangunkan Sabah - Ahmad Zahid

15/11/2025 08:59 PM

KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Peruntukan terbesar diterima Sabah dalam Belanjawan 2025 dan 2026 mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk memacu pembangunan negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau berkata peruntukan berkenaan bukan sekadar angka, tetapi juga bukti jelas bahawa Sabah sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan Kerajaan MADANI, khususnya dalam usaha menangani isu asas seperti air, elektrik, jalan perhubungan desa, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keusahawanan.

"Dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Okt lepas, PM (Perdana Menteri) mengumumkan peruntukan Sabah sekali lagi mengatasi negeri lain.

“Kedudukan Sabah sebagai penerima peruntukan terbesar adalah selari dengan profil demografi negeri itu yang masih mempunyai peratusan penduduk luar bandar yang tinggi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata lebih daripada 60 peratus rakyat Sabah juga masih berada di kawasan luar bandar dan kawasan pinggir bandar.

Beliau berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kekal komited untuk memastikan setiap lapisan masyarakat di Sabah menerima manfaat pembangunan yang seimbang dan berimpak tinggi.

KKDW, katanya bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan asas, tetapi juga memperluas pelaksanaan program pendidikan Majlis Amanah Raya (MARA), TVET serta pembangunan teknousahawan melalui pelbagai skim termasuk Gate to Global dan inisiatif usahawan mikro.

Ahmad Zahid berkata tumpuan kerajaan yang berterusan terhadap Sabah juga mencerminkan kesungguhan untuk memastikan negeri itu menikmati pembangunan yang setara, selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Sabah menerima peruntukan RM17.6 bilion dalam Belanjawan 2025 dan RM17.5 bilion dalam Belanjawan 2026.

Terdahulu, ketika berucap pada Program Khatam Perdana dan Forum Makanan Baik Dan Sihat di Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu di sini, Ahmad Zahid menzahirkan rasa bangga melihat perkembangan luar biasa Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sabah. 

“Dalam tempoh hanya tiga tahun, KEMAS Sabah berjaya mewujudkan 731 kelas Pra-Tahfiz melibatkan 8,347 kanak-kanak yang diasuh dengan asas Al-Quran sejak usia awal," katanya.

Beliau berkata hasilnya, Laporan Penguasaan Pra-Tahfiz Sabah 2025 merekodkan sebanyak 972 kanak-kanak berada pada Tahap 5, telah menghafal lebih 21 surah Juz ‘Amma. 

"Ini bukan angka kecil, ini bukti keberkatan usaha yang dilaksanakan di bumi Sabah dan seluruh negara sejak tiga tahun lepas,” katanya.

Ahmad Zahir berkata perkembangan lahir daripada kasih, dedikasi dan iltizam guru, penyelia dan warga KEMAS Sabah yang mendidik anak-anak ini dengan penuh amanah dan kesungguhan. 

“Semoga KEMAS terus berperanan sebagai institusi pembangunan insan luar bandar yang mendidik minda, membentuk akhlak dan mengangkat martabat ummah untuk generasi akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan