DUNIA

Ringgit Dijangka Sekitar 4.10-4.15 Berbanding Dolar AS Minggu Depan

15/11/2025 10:46 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Ringgit diunjur diniagakan dalam julat 4.10-4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan, disokong oleh asas makroekonomi Malaysia yang berdaya tahan dalam jangkaan anjakan peralihan berkaitan dasar monetari negara maju itu.

Kenanga Investment Bank Bhd menerusi nota tinjauannya, berkata pasaran juga tidak lagi menumpukan kemungkinan Rizab Persekutuan AS (Fed) bertindak mengurangkan kadar faedah pada Disember ini.

Sebulan lepas, jangkaan itu melebihi 90 peratus namun turun kepada 70 peratus susulan Mesyuarat Jawatankuasa Terbuka Persekutuan AS (FOMC) baru-baru ini.

Ketidakpastian itu dicetuskan oleh Fed sendiri yang mengakui kabur mengenai realiti sebenar apabila berpandukan data inflasi lama yang hanya menjadikan kalangan penggubal dasar berpendirian lebih berhati-hati.

“Namun, kami masih menjangkakan pengurangan kadar faedah itu pada Disember dan disusuli dengan dua lagi tindakan sama pada 2026 apabila kesuraman pasaran tenaga kerja menjadi lebih ketara,” katanya.

Kenanga IB menyatakan bahawa biarpun wujud ketidakpastian dasar, asas ekonomi AS dilihat sebagai memadai untuk menjadikan dolar AS susut nilai yang sebaliknya membantu kestabilan ringgit dalam tempoh masa terdekat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit yang hampir mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat tahun, hanya mencerminkan pandangan positif peniaga serta pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

“Bagi saya, peserta pasaran kekal positif terhadap prospek Malaysia. Data Keluaran Dalam Negara Kasar suku ketiga 2025 yang baru diumumkan mencatat 5.2 peratus yang menepati unjuran awal.

“Dasar monetari dijangka kekal menyokong pertumbuhan dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa mungkin kekal pada 2.75 peratus pada 2026,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam juga menyifatkan pemulihan fiskal ketika ini juga dijangka memberi impak positif terhadap kredit yang dapat menarik lebih banyak aliran masuk dana asing ke dalam bon kerajaan.

“Secara menyeluruh, ringgit kelihatan berada di landasan tepat bagi mengekalkan trajektori positifnya,” katanya.

Sebagai asas perbandingan, ringgit mengukuh berbanding dolar AS dan ditutup lebih tinggi pada paras 4.1290/1345 berbanding 4.1735/1775 minggu lepas.

Ringgit juga diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama dunia.

Ini termasuk naik berbanding pound Britain kepada 5.4313/4385 daripada 5.4660/4713, menokok berbanding euro kepada 4.7983/8047 daripada 4.8154/8200 dan meningkat berbanding yen kepada 2.6690/6728 daripada 2.7192/7220 pada akhir urus niaga minggu lepas.

Berbanding mata wang rakan ASEAN, ringgit juga diniagakan meningkat.

Unit tempatan itu naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1720/1765 daripada 3.2015/2048, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 247.1/247.5 daripada 250.0/250.4, meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.99/7.00 daripada 7.07/7.08 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.7356/7580 daripada 12.8999/9174 sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan