KOTA BHARU, 14 Nov (Bernama) -- Polis merampas beras putih dianggar seberat 40 tan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran selepas menahan sebuah treler dalam operasi bersepadu di Jalan Kota Bharu-Gua Musang, malam tadi.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata operasi bermula 8 malam itu melibatkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai.
“Treler jenis Nissan CD4 terbabit ditahan berhampiran simpang Taman Perisai Wira, Kuala Krai dan hasil pemeriksaan menemukan muatan 40 tan beras putih tanpa sebarang dokumen sah.
“Pemandu lori berkenaan kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata beras berkenaan dipercayai dibawa secara runcit dari kawasan sempadan sebelum dimuatkan ke dalam treler berkenaan untuk dibawa ke Kuala Lumpur.
Mohd Yusoff berkata keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM350,050 manakala kenderaan bersama muatan beras itu dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1964 serta akan dirujuk kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial