POLITIK

TEKUN Nasional Jalin Kerjasama Dengan AKPK Bantu Mekanisme Bayaran Pinjaman - Ramanan

13/11/2025 08:26 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional akan bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), bagi memperkukuh mekanisme kutipan pinjaman selain memastikan dana pusingan dapat digunakan untuk membantu bakal usahawan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata kerjasama itu membolehkan akaun berstatus pinjaman tidak berbayar (NPL), disusun semula melalui program pengurusan kredit AKPK yang memberi ruang kewangan lebih stabil kepada peminjam mikro untuk kembali melunaskan komitmen.

Beliau berkata selain sistem AKPK, akaun NPL peminjam juga dilaporkan kepada biro kredit seperti Experian dan CTOS, bagi memastikan pemantauan berterusan serta tindakan susulan yang lebih tersusun.

“Kita juga mempergiat kutipan daripada khidmat bantuan yang lebih berkesan dan lebih aktif, selain memperketatkan kelulusan permohonan baharu.

“Menerusi kempen berterusan bayar balik di seluruh negara, ia telah merekod pencapaian yang agak baik kerana jumlah NPL yang sedia ada sekarang pun sudah turun kepada angka satu digit,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, sebanyak 12 Ahli Parlimen menyertai perbahasan bagi Kementeriaan Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan bernilai RM1,030,172,700 bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2026, selepas disokong dengan lebih suara bersetuju.

Selain KUSKOP, anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan bernilai RM1,567,627,800 bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk tahun 2026 turut diluluskan Dewan Rakyat dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahaskan oleh 20 Ahli Parlimen.

Persidangan bersambung Isnin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan