EKONOMI

Malaysia Imbangi Pertumbuhan Pusat Data Dengan Pengurusan Air Dan Tenaga Yang Bertanggungjawab

13/11/2025 03:21 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Malaysia secara proaktif menguruskan penggunaan air yang tinggi dengan menyemak semula struktur tarif untuk industri berat dan mempromosikan air kitar semula dan teknologi penyejukan di peringkat daerah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata ia selaras dengan cita-cita negara untuk menjadi hab pusat data serantau (DC).

“Ini memastikan pertumbuhan kekal bertanggungjawab dan kemampanan kekal menjadi teras kemajuan,” kata Fadillah dalam ucapan perasmiannya pada persidangan Kemampanan Alam Sekitar Asia 2025 Ketiga di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Kerangka Kerja Pusat Data Mampan Negara dijangka dilancarkan bulan lepas, memperincikan pelaksanaan pembangunan pusat data.

Tarif air khusus untuk DC adalah antara langkah dijangka diperkenalkan dalam rangka kerja tersebut.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sebelum ini bersetuju untuk menetapkan tarif khusus sebanyak RM5.50 setiap meter padu, menggantikan kadar semasa untuk perindustrian.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata bahawa Malaysia telah melebihi sasaran tenaga boleh baharu 2025 lebih awal daripada jadual, mencerminkan momentum kukuh negara.

“Kami sedang mengembangkan solar, hidro, sisa kepada tenaga dan penyelesaian hidrogen hijau, disokong oleh penyimpanan tenaga dan potensi peranan nuklear di bawah Rancangan Malaysia ke-13, pada masa sama mengekalkan gas asli sebagai bahan api peralihan,” katanya.

Beliau mengulangi bahawa negara bercita-cita untuk menjadi pusat kecemerlangan serantau dalam pengurusan air menjelang 2040, didorong oleh inovasi, pendigitalan dan bakat mahir.

Di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai 70 peratus kapasiti terpasang tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan