Rumput laut dan rumpai laut. Dua jenis hidupan marin yang sering kali dianggap sama oleh kebanyakan kita, namun sebenarnya jauh berbeza dengan rumput laut merupakan tumbuhan berbunga dan rumpai laut pula ialah sejenis alga.
Perbezaan kedua-duanya tidak hanya setakat itu, tetapi juga dari segi rupa bentuk dan fungsi kepada ekosistem marin.
Tidak seperti rumpai laut yang diketahui nilai komersialnya, terutama di Negeri di Bawah Bayu ini yang merupakan penyumbang terbesar pengeluaran rumpai laut negara, kepentingan rumput laut jarang diketengahkan.
Hidup di pesisir pantai, tumbuhan ini hanya dapat dilihat dengan jelas sewaktu air surut dan kawasan itu menjadi cetek, mendedahkan sebuah padang hijau yang ditenggelami air - pemandangan yang mungkin mengingatkan kita kepada bendang yang baru ditanami anak padi.
pic-2
Mungkin dianggap sekadar “lalang” oleh sesetengah orang, hakikatnya rumput laut ini merupakan khazanah tidak ternilai buat para saintis, nelayan dan juga penduduk di pesisir laut.
Selain berfungsi sebagai penapis biologi semula jadi, rumput laut juga menjernihkan air dan menjadikan persekitaran sesuai untuk pelbagai hidupan marin.
Tumbuhan ini menstabilkan sedimen, mengurangkan hakisan, menyediakan tempat makan dan perlindungan kepada anak-anak ikan serta menjadi kawasan pembiakan organisma marin dan mengawal kitaran nitrogen.
PENANAMAN SEMULA RUMPUT LAUT
Pada 21 Ogos lepas, penulis berpeluang menjejakkan kaki di Kampung Penimbawan di sini, dibawa oleh Yayasan Petronas bagi meninjau projek penanaman rumput lautnya bersama-sama dengan komuniti Bajau Samah.
Di Sabah, inisiatif ini dilaksanakan menerusi sokongan Yayasan Petronas, Jabatan Perikanan (DOF), Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan menggabungkan pemetaan saintifik dan penglibatan serta pendidikan komuniti.
Usaha ini merupakan pendekatan menyeluruh bagi melindungi rumput laut di Malaysia, selain mengenal pasti lokasi tumbuhan itu serta kawasan berpotensi untuk ditanam semula.
Menempuh perjalanan darat selama kira-kira satu jam dari Kota Kinabalu ke Jeti Kampung Serusap di sini, kami kemudian menaiki bot menyusuri Teluk Sulaman yang mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum tiba di Kampung Penimbawan.
Merupakan sebuah petempatan nelayan, Kampung Penimbawan didiami oleh 132 buah keluarga meliputi 3,126 orang daripada suku kaum Bajau Samah.
pic-3
Hampir tiga dekad lepas, kawasan kampung ini yang terletak di Teluk Sulaman, dikelilingi padang rumput laut subur menghijau, menarik kedatangan penyu serta pelbagai jenis ikan yang menjadikan rumput laut sebagai makanan mereka.
Namun semua itu sudah hampir menjadi sejarah, kerana kata penduduk telah lama mereka tidak ternampak kelibat penyu, seiring dengan ketandusan padang rumput laut yang berlaku akibat aktiviti manusia termasuk pembangunan.
“Ketika rumput laut masih lagi banyak di kawasan itu, kami masih nampak kelibat penyu, malah banyak ikan-ikan yang bertelur di sekitar padang rumput laut kerana itu merupakan makanan mereka.
“Tapi, sejak rumput laut makin berkurangan (kira-kira 10 tahun lalu), penyu sudah jarang kelihatan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Penimbawan Jaukal Badak, 68.
Keadaan itu juga kata Jaikal - dengan raut wajahnya jelas menampakkan riak kekecewaan - menjejaskan rezeki mereka yang bergantung pada hasil tangkapan laut bagi memastikan dapur terus berasap
Namun, projek pemetaan rumput laut berasaskan komuniti yang dilaksanakan itu memberikan sinar harapan buat Jaukal dan penduduk kampung.
“Laut merupakan sumber rezeki kita. Jika ikan hilang, bagaimana kami mahu makan? Oleh sebab itulah kami mahu menanam semula rumput laut agar ikan-ikan semua kembali dan terus memberi masa depan kepada anak-anak kami,” katanya.
Sejak hampir setahun lalu, Jaukal dan para nelayan di Kampung Penimbawan dilatih oleh pakar dari UMS untuk melindungi dan menanam semula rumput laut di pesisir Telur Sulaman.
PEMETAAN RUMPUT LAUT
Pasukan penyelidik lima anggota diketuai oleh Prof Madya Dr Ejria Saleh daripada Institut Penyelidikan Marin Borneo UMS, mempunyai dua skop tugas; Pemetaan Rumput Laut dan Mengkuantifikasi Karbon serta Program Berasaskan Komuniti (CEPA).
Ejria berkata rumput laut ialah benteng pertahanan pertama terhadap hakisan pantai dan mendahului terumbu karang dari segi melindungi dasar laut serta menyediakan persekitaran selamat bagi anak-anak ikan membesar di perairan cetek.
“Tumbuhan ini mungkin kelihatan seperti ‘lalang’ bagi kebanyakan kita, tetapi bagi hidupan laut, ia amat penting untuk mengekalkan kelestarian biodiversiti marin dan ekosistem pantai, selain menjadi sumber pendapatan buat komuniti,” katanya kepada Bernama.
pic-4
Beliau berkata program pemetaan rumput laut di Sabah menggabungkan teknologi dron, imejan satelit dan penyelaman lapangan bagi memetakan ekosistem rumput laut di Malaysia.
“Objektif utama kami adalah untuk mewujudkan data asas taburan rumput laut di perairan cetek pesisir laut, memperkasa komuniti setempat melalui latihan dan penyertaan dalam usaha pemuliharaan serta pemulihan, selain memupuk kesedaran tentang ekosistem rumput laut dan kepentingan ekologi yang dimilikinya.
“Hingga kini, kami telah menemukan lebih 20 kawasan padang rumput laut yang baru direkodkan, menandakan ini usaha pemetaan rumput laut paling menyeluruh dalam sejarah negara,” katanya.
Dr Wahidatul Husna Zuldin, seorang saintis marin yang bertanggungjawab terhadap pemuliharaan rumput laut dan penglibatan komuniti di bawah program tersebut, berkata bagi mengiktiraf dan menghargai usaha penduduk kampung dalam menanam semula tumbuhan itu, seramai 19 orang ‘wira’ telah dipilih dalam kalangan mereka untuk terus melindungi habitat di sepanjang pesisir.
“Pemahaman mereka terhadap penanaman semula ‘unas’ (bahasa Bajau bermaksud rumput laut) lebih cepat kerana sering kali apabila berkunjung ke kampung ini, saya akan berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa Bajau,” katanya.
pic-5
PENANAMAN SEMULA RUMPUT LAUT
Setelah taklimat dan penyampaian watikah pelantikan ‘wira’ penanaman rumput laut di Kampung Penimbawan, kami dibawa ke kawasan paya bakau, iaitu lokasi yang akan ditanam rumput laut, kira-kira 10 minit dari jeti kampung itu menaiki bot.
Menurut Ejria, kawasan penanaman semula rumput laut yang telah dikenal pasti di kawasan paya bakau berdekatan kampung itu memenuhi kritieria, iaitu kurang gangguan lalu lintas bot dan aktiviti nelayan, selain mendapat sokongan komuniti setempat untuk pemantauan dan penjagaan.
Oleh sebab bot tidak dapat memasuki kawasan paya bakau kerana lumpur tebal, kami terpaksa mengharungi air berselut separas lutut dengan memakai kasut “aqua” dan but.
pic-6
Walaupun jarak ke kawasan penanaman semula rumput laut tidak jauh, iaitu kira-kira 50 meter sahaja, bagi kebanyakan kami yang baru kali pertama menjejakkan kaki di kawasan paya bakau, “perjalanan” itu begitu mencabar.
Setiap langkah terasa seperti “kaki dipegang oleh tanah” - sukar diangkat selepas terbenam di dalam lumpur. Malah, banyak kali insiden kasut “tertinggal” berlaku, sekali gus melengahkan lagi perjalanan.
Namun, rasa penat “bertarung” dengan lumpur tebal hilang sebaik tiba di lokasi penanaman semula. Penulis terpegun dengan keindahan padang rumput yang menghijau sejauh mata memandang di depan hutan bakau itu.
“Di Malaysia, ada 17 spesies rumput laut dan pemilihan jenis rumput laut yang akan ditanam bergantung pada spesies asli yang wujud di kawasan itu yang juga merupakan spesies dominan bercirikan tahan lasak dan akar kuat.
“Di Kampung Penimbawan, kami memilih spesies Enhalusecorides, yang mendominasi 40 peratus kawasan pesisir pantai Zon Kota Kinabalu,” kata Ejria, sambil menunjukkan sampel rumput laut kepada kami di lokasi penanaman.
Katanya spesies itu mempunyai daun sepanjang satu hingga dua meter yang menjadikannya spesies terbesar di Asia, menghasilkan buah bulat seperti kelapa kecil berisi biji berkanji.
“Biasanya rumput laut tumbuh di kawasan berlumpur, berpasir dan berdaya tahan di air yang keruh,” katanya.
Kelihatan sekumpulan penduduk kampung yang merupakan ‘wira’ program itu sudah mula mengeluarkan anak benih semaian dan alat-alat seperti cangkul dan pembaris panjang untuk mengukur tempat yang bakal ditanam rumput laut spesies tersebut.
Sekali lagi penulis terpegun melihat kelincahan para penduduk serta peserta program itu melakukan penanaman semula rumput laut, kerana di mata penulis proses tersebut kelihatan sangat sukar.
“Kami menggunakan anak benih semaian yang diperoleh dari perairan Sabah Ports Sdn Bhd dan dibawa ke sini untuk ditanam semula,” ujarnya.
pic-7
HIDUPAN LAUT BERTAMBAH
Sedang kami pengamal media leka melihat para penduduk serta pasukan saintis menanam rumput laut, kedengaran jeritan kegembiraan seorang penduduk.
“Lihat, ada ketam! Sangat besar dan boleh dijual mahal ini,” jerit Seepar Taar, 65, penduduk dan nelayan Kampung Penimbawan, sambil tangannya menggoyang-goyangkan ketam untuk ditunjukkan kepada kami.
Kegembiraan jelas terpancar di wajah para penduduk Kampung Penimbawan yang terlibat dalam penanaman semula rumput laut itu apabila mereka melihat sendiri hasil projek mereka.
Menurut Ejria, selain melengkapi mereka dengan kemahiran menanam semula rumput laut, peserta juga diajar memantau tumbesaran tumbuhan itu serta kehadiran hidupan laut.
“Antara kaedah pemantauan adalah ukur parameter air, suhu, salinity (kadar kemasinan air), oksigen terlarut dan kekeruhan; analisis epifit atau alga di permukaan daun (tanda tekanan ekologi), kehadiran hidupan indikator (siput, ketam) dan catatan berdasarkan gambar berulang dari stesen tetap.
“Pemantauan lebih terperinci turut dilakukan dari semasa ke semasa, iaitu keluasan liputan rumput laut, kepadatan pucuk, panjang dan lebar daun, kestabilan sedimen, biomassa iaitu berat daun, serta pemantauan menerusi dron,” katanya.
pic-8
MEMPERKASA KOMUNITI
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas Shariah Nelly Francis berkata Malaysia antara kawasan yang kaya dengan rumput laut di dunia dan menjadi habitat 17 spesies tumbuhan itu.
Katanya masih terdapat banyak padang rumput belum dipetakan, dikaji dan dilindungi di negara ini.
“Di Sabah, pembangunan pesisir laut, aktiviti penangkapan ikan yang merosakkan dan pencemaran terus mengikis ekosistem yang rentan ini.
“Namun, usaha pemetaan dan pemulihan yang kami jalankan mengubah keadaan. Pengumpulan data, peningkatan kesedaran dan rangsangan gelombang kecil ini berpotensi mempengaruhi dasar, memberi inspirasi kepada komuniti serta memperkukuh usaha pemuliharaan di seluruh Malaysia,” katanya.
pic-9
Shariah Nelly berkata usaha rintis itu yang disokong oleh Yayasan Petronas, bertujuan mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap pemuliharaan karbon biru, perlindungan biodiversiti marin serta pengurusan pesisir laut yang lestari.
“Projek ini merupakan pemetaan rumput laut yang paling menyeluruh di Malaysia dan hasilnya akan digunakan untuk membentuk pelan tindakan nasional,” katanya.
Menurutnya di bawah teras alam sekitar Yayasan Petronas, program pemetaan rumput laut itu bertujuan menggalakkan dan mengembangkan usaha pemuliharaan alam sekitar di Malaysia, khususnya dalam pemeliharaan tumbuhan berkenaan.
“Kami komited untuk melaksanakan inisiatif yang bukan sahaja melindungi alam sekitar dan memulihara ekosistem rumput laut di Malaysia, tetapi juga memperkukuh daya tahan komuniti dalam menghadapi cabaran iklim pada masa depan.”
Tambah beliau, kajian dan penyelidikan berasaskan pemetaan rumput laut yang menyeluruh bukan sahaja akan menyumbang kepada pemahaman lebih mendalam tentang pengurusan ekosistem tetapi juga kepada pembangunan strategi pengurusan yang lebih berkesan.
“Selain itu, pemetaan padang rumput laut juga akan menyediakan data penting yang menjadi asas kepada pelan pemuliharaan,” ujarnya.
Beliau berkata kerjasama dengan DOF dan SaBC itu turut melibatkan pelaksanaan inisiatif pendidikan dan kesedaran bagi komuniti tempatan, dengan menekankan kepentingan ekosistem rumput laut serta peranannya yang kritikal dalam menyokong kesihatan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
“Pemetaan rumput laut hanyalah satu bahagian daripada program ini. Bahagian penting lain ialah melibatkan komuniti yang tinggal di sepanjang kawasan padang rumput laut untuk menjadi penjaga, memupuk rasa tanggungjawab dan membantu dalam usaha melindungi habitat penting ini,” jelasnya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial