FOKUS BERNAMA

Mendepani Cabaran Hepatitis Di Malaysia: Perhebat Kempen Kesedaran - Pakar

12/11/2025 11:14 AM
Daripada Balkish Awang

Sedar tidak ramai yang mahu mendedahkan mereka penghidap hepatitis kepada umum dan seterusnya berkongsi maklumat penyakit itu, Rowen (bukan nama sebenar) menubuhkan sebuah kumpulan di laman sosial Facebook khusus untuk meningkatkan kesedaran awam tentang  penyakit berkaitan hati itu.

Didiagnosis menghidap hepatitis B kira-kira lapan tahun lalu dan kini di peringkat sirosis (kerosakan hati), lelaki berusia 49 tahun dari Sabah ini mengakui patah semangat di peringkat awal sebelum bangkit dan giat berkongsi tentang hepatitis B dan C yang berisiko menyebabkan kanser hati.

Mengasaskan komuniti HEPATITIS A/B/C SUPPORT GROUP (MALAYSIA) di pelantar Facebook pada Januari 2021 dengan lebih 2,000 pengikut setakat ini, Rowen berkata dia mengalami gejala sejak 2007 namun hanya didiagnosis secara rasmi pada 2017.

“Penyakit ini diwarisi (daripada ibu) dengan empat daripada adik-beradik termasuk saya merupakan pembawa. Penyebab utama daripada seorang pembawa menjadi penghidap, iaitu mengalami sirosis hati, ialah pengambilan alkohol, ubat penahan sakit dan juga penggunaan ubatan terlarang untuk membina otot badan.

“Sirosis ini peringkat akhir sebelum menjadi kanser hati, jadi apabila saya dimaklumkan oleh doktor yang saya telah mengalami sirosis, memang sukar untuk saya terima. Saya diselubungi rasa resah melampau dan insomnia. Setiap malam, ketika mahu tidur saya akan terfikir tentang penyakit ini dan masa depan anak-anak serta isteri,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Tidak betah dengan keadaan itu, Rowen mula menimba lebih banyak maklumat tentang hepatitis yang seterusnya membawa kepada penubuhan komuniti pesakit hepatitis untuk berkongsi pengalaman serta memberi sokongan dan motivasi sesama mereka yang senasib.

 

TIDAK RAMAI TAHU

Rowen berkata berdasarkan pengalamannya, tidak seperti HIV/AIDS, jantung, darah tinggi dan diabetes, masih ramai ahli masyarakat kurang cakna hepatitis yang mungkin disebabkan oleh kurangnya kempen kesihatan berkenaan penyakit itu.

“Gejala hepatitis B dan C khususnya, hanya ketara di peringkat sirosis ataupun kanser hati. Namun, kalaupun didiagnosis telah sampai di peringkat sirosis, tidak bermakna hidup telah berakhir kerana dengan rawatan dan pemeriksaan yang konsisten kita boleh mengawal tahap kerosakan hati itu,” katanya.

pic-4

Berkongsi lanjut, dia berkata rutin rawatan yang perlu dijalaninya termasuk pengambilan sampel darah setiap enam bulan, imbasan hati setiap enam bulan dan  pemeriksaan endoskopi (OGSD)  setahun sekali.

“Endoskopi ini paling mencabar namun paling penting (bagi penghidap sirosis) kerana melalui kamera yang dimasukkan hingga usus itu doktor dapat melihat keadaan salur darah sekiranya berlaku pembengkakan, dan sama ada perlu dipasang getah kecil untuk menghalang salur darah daripada pecah,” ujarnya, menasihati ahli masyarakat agar membuat saringan hepatitis secara berkala.

“Kita perlu buat pemeriksaan berkala kerana hepatitis tidak ada gejala ketara sehinggalah sudah sampai tahap serius,” tegasnya, menambah dia kini menekankan gaya hidup sihat di samping mematuhi rejimen rawatan yang ditetapkan.

 

MENDEPANI CABARAN

 

Statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan dalam tempoh 2013-2023 sebanyak 49,992 kes hepatitis B direkodkan di negara ini, sementara jangkitan hepatitis C pula sebanyak 34,573 kes.

Memperincikan penyakit hepatitis, Pakar Perubatan Dalaman Gastroenterologi & Hepatologi, Hospital Pakar Tawakkal Dr Melvin Raj berkata hepatitis B merupakan jangkitan lazim dan paling tinggi dalam kalangan negara-negara di Asia Tenggara berbanding rantau lain seperti Eropah.

“Di negara ini juga kes hepatitis B paling tinggi (berbanding hepatitis jenis lain) direkodkan. Oleh sebab itu juga kerajaan pada 1989 mewajibkan semua bayi diberikan suntikan vaksin (hepatitis) bagi mengawal jangkitan.

“Namun di sebalik langkah itu, kes terus meningkat. Saya berpandangan isu ini disebabkan oleh pendatang asing, contohnya dari Myanmar dan Indonesia yang datang bekerja di negara ini. Mereka tidak diberikan sebarang suntikan (vaksin hepatitis) dan berisiko menghidap hepatitis B,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau juga berkata kebanyakan rakyat di negara ini masih belum mempunyai kesedaran tinggi akan pentingnya menjalani saringan hepatitis yang seterusnya merisikokan mereka kepada jangkitan hepatitis B dan C di peringkat kronik.

“Misalnya, ada yang cuma tahu mereka menghidap hepatitis selepas menderma darah, iaitu apabila darah yang mereka dermakan itu diuji atau disaring untuk mengesan penyakit,” katanya.  

 

HEPATITIS A,B,C,D,E

 

Menjelaskan dari sudut perubatan, Dr Melvin berkata hepatitis secara umum merujuk radang hati yang tidak semestinya disebabkan oleh serangan virus hepatitis B dan C, tetapi kerana pengambilan ubat yang mengganggu fungsi hati dan seterusnya menyebabkan keradangan.

pic-2

"Contohnya ubat kolesterol. Ada segelintir pesakit yang mengambil ubat ini mengalami gangguan fungsi hati. Kes sebegini kita sifatkan sebagai 'drug-induced hepatitis’, iaitu keadaan hati mengalami keradangan atau kerosakan akibat pengambilan ubat atau bahan tertentu. Ubat tibi juga berisiko untuk menyebabkan radang hati.

"Selebihnya, punca hepatitis ialah virus dan gangguan sistem imun. Sistem imun bertujuan melindungi diri kita, dan apabila imun lemah ia akan menganggap hati kita ini sebagai musuh," katanya.

Menurut Dr Melvin terdapat lima kategori hepatitis, iaitu hepatitis A,B,C,D dan E. Namun di Malaysia hanya hepatitis, A, B dan C paling banyak berlaku berbanding hepatitis D dan E yang agak jarang.

Mengulas cara jangkitan, beliau berkata setiap jenis hepatitis itu berlaku dengan cara jangkitan berbeza, iaitu hepatitis A  berlaku melalui makanan dan minuman, sementara B dan C pula menerusi cecair badan termasuk darah.

“Seseorang juga boleh dijangkiti hepatitis B dan C menerusi transfusi darah, hubungan seks, penggunaan jarum tidak bersih - ini biasanya dalam kalangan penagih dadah secara suntikan atau mereka yang mencacah tatu.

"Penggunaan alat-alat peribadi seperti pencukur, berus gigi juga merisikokan seseorang kepada jangkitan hepatitis B jika berkongsi, dan situasi ini biasanya berlaku di institusi penjara kerana mereka berkongsi dan ia meningkatkan risiko," katanya. 

 

TAHAP KESERIUSAN

 

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Dr Melvin berkata berbanding B dan C, peluang penghidap hepatitis A untuk sembuh ialah 95 ke 97 peratus.

“Untuk hepatitis A, tempoh keradangan berlaku singkat dan pesakit boleh sembuh. Biasanya pesakit akan rasa tidak sihat, demam dan kemudian sembuh. 

"Untuk hepatitis B dan C pula, jangkitan fasa akut berlaku dalam masa singkat tetapi mengambil masa untuk ke tahap kronik. Contohnya, ibu hamil ada hepatitis B  berisiko tinggi menjangkitkan penyakit itu kepada bayi semasa melahirkan. 

“Hampir 90 peratus bayi yang mendapat hepatitis B ini akan menjadi kronik kerana sistem imun mereka lemah dan tidak dapat melawan jangkitan sedari awal. Untuk mengurangkan risiko hepatitis B kronik, bayi yang dilahirkan (oleh ibu penghidap hepatitis B kronik) akan diberikan suntikan tambahan - immunoglobulin - di samping vaksin hepatitis B,” katanya.

Bagaimanapun Dr Melvin berkata penghidap hepatitis C masih mempunyai sinar untuk sembuh kerana terdapat rawatan yang boleh mengubati penyakit itu, sementara hepatitis B pula dapat dikawal dengan rejimen rawatan seperti suntikan dan pengambilan ubat.

pic-3

"Sebelum ini secara suntikan, tapi kini rawatan kita lebih kepada pil (makan ubat).  Perbezaan makan ubat dan suntikan ini ialah suntikan telah ditetapkan contohnya 12 bulan, atau enam hingga 12 bulan tetapi kosnya tinggi. Pengambilan ubat untuk tempoh jangka panjang bagi mengawal hepatitis B bertujuan  mengurangkan bilangan virus. Apabila virus dapat dikurangkan tahap radang pun berkurangan dan risiko kanser hati juga menjadi lebih rendah.

"Untuk hepatitis C berbeza sedikit dengan masa rawatan antara tiga ke enam bulan. Jika pesakit yang ada hepatitis C  masih sihat, rawatan diperlukan hanya tiga bulan. Sekiranya pesakit ada sirosis hati iaitu hati sudah mengeras rawatan mengambil masa enam bulan," katanya.

Berhubung kos rawatan pula, beliau berkata kini agak murah berbanding 15 tahun lalu.

"Di hospital swasta, rawatan hepatitis C untuk tempoh tiga bulan dalam anggaran RM5,000 ke RM7,000 berbanding lima tahun lepas kosnya mencecah lebih RM50,000. 

"Pengalaman kes pesakit pertama saya di hospital ini 15 tahun lalu kos rawatan untuk tiga bulan bernilai RM150,000 kemudian kos menurun lagi hingga ke RM50,000. Selepas itu kerajaan membenarkan ubat-ubatan didapatkan dari India, di mana ubatnya sangat bagus. Jika di hospital kerajaan kos yang dikenakan mungkin dalam anggaran ratusan ringgit sahaja," katanya.

 

LAKUKAN PEMERIKSAAN

 

Menasihati masyarakat agar menjalani saringan hepatitis, Dr Melvin berkata peringkat usia terbaik untuk melakukan saringan itu ialah 18 ke 20 tahun, terutama dalam kalangan anak muda yang ingin melanjutkan pengajian di universiti.

"Walaupun sudah dapat vaksin sewaktu kecil, selepas tamat persekolahan buat sekali lagi pemeriksaan kesihatan kerana tempoh itu waktu terbaik agar apa-apa tindakan boleh dicegah awal dan kemungkinan kerosakan hati pun belum berlaku," katanya.

Mengenai gejala, Dr Melvin berkata hepatitis A,B,C berpunca  daripada virus maka simptomnya ialah seseorang itu akan mengalami lenguh, demam dan sakit badan namun tidak ke tahap mata menjadi kekuningan.

"Biasanya bila sebut hepatitis penyakit ini melibatkan hati dengan petunjuk mata akan menjadi kuning (jaundis). Namun bukan semua pesakit hepatiis B dan C akan mengalami mata menjadi  kuning. Jadi mungkin mereka anggap sakit-sakit badan itu adalah demam denggi, influenza dan dia tidak pergi periksa dengan doktor. Majoriti gejala hepatitis ini adalah umum seperti demam virus (viral fever)," katanya. 

pic-5

Tidak menafikan penyakit hepatitis masih dipandang remeh, Dr Melvin berharap kesedaran berhubung penyakit itu terus dipertingkatkan dengan menekankan kepentingan penjagaan kesihatan dan pencegahan awal penyakit.

"Promosi berkaitan hepatitis pun hanya setahun sekali... itupun menjelang (hari) sambutan penyakit ini. Ada yang ambil pendekatan relaks dan tidak ambil kisah sangat,  apabila sakit tenat baru mereka hendak ambil tahu," katanya menambah perlunya amalan gaya hidup sihat.

Selain itu Dr Melvin menasihatkan masyarakat agar tidak mengambil bahan yang boleh mengganggu atau membahayakan hati terutamanya produk berkaitan ubat kurus.

"Ubat-ubatan ini boleh merosakkan hati, begitu juga suplemen yang dijual di pasaran termasuk dalam talian, kita tidak pasti kandungan suplemen itu asli atau sebaliknya. Justeru perlu berhati-hati dan berwaspadalah," katanya, menambah pengambilan alkohol yang berterusan juga berisiko merosakkan hati. 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan