AM

Insiden Komuter Terlajak: Kerja Pengalihan Selesai, Operasi Di Stesen Butterworth Pulih

09/11/2025 06:34 PM

BUTTERWORTH, 9 Nov (Bernama) -- Kerja-kerja mengalihkan set tren Komuter enam gerabak (SCS03) yang terlajak ke hujung landasan di Platform 4, Stesen Butterworth di sini, pagi semalam telah berjaya diselesaikan sepenuhnya dengan selamat.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan tren penumpang itu juga kembali beroperasi seperti biasa mulai 7.51 malam tadi.

“KTMB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penumpang atas kesabaran, kerjasama dan kefahaman yang diberikan sepanjang tempoh kerja pemulihan dijalankan.

“KTMB kekal komited untuk meningkatkan mutu perkhidmatan serta memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna sentiasa menjadi keutamaan,” menurut kenyataan itu.

Semalam KTMB memaklumkan tren terlibat dalam kejadian itu merupakan set kosong tanpa penumpang dan sedang dalam pergerakan operasi harian serta tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut KTMB, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan