PUTRAJAYA, 9 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberikan tumpuan baharu terhadap pengukuhan peranan bapa dalam membina keluarga sejahtera menerusi Pakej KASIH MADANI 2.0 yang dilancarkan hari ini, kata Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata Modul Kebapaan di bawah pakej itu menekankan kepentingan tanggungjawab dan kepimpinan bapa dalam institusi keluarga, sekali gus memupuk kesedaran bahawa kesejahteraan rumah tangga tidak hanya terletak pada bahu golongan ibu semata-mata.
"Kita mahu mereka (bapa) memainkan peranan penting dalam kepimpinan. Bagi mereka, dia (bapa) ketua keluarga, tetapi yang menjalankan tugasan lain di rumah ialah ibu.
"Jika suami hanya mengharapkan isteri untuk melakukan semua tugas penting, hal ini tidak betul kerana memerlukan tanggungjawab bersama. Bukannya tentang bertukar peranan, tetapi tentang mengimbangi peranan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025, yang dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini hari ini.
Kata Nancy, pakej berkenaan turut memberikan tumpuan kepada aspek nilai murni dan pembentukan sahsiah dalam kalangan ibu bapa selain membantu pasangan yang belum dikurniakan zuriat melalui program kesedaran dan rawatan kesuburan, khususnya kepada golongan suami.
"Golongan bapa juga perlu mengadakan pemeriksaan untuk dirinya supaya dia memahami bahawa hal ini bukan hanya masalah ibu (masalah kesuburan), tetapi juga si bapa ataupun si suami," katanya.
Pakej KASIH MADANI 2.0 dibangunkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan penglibatan para akademik serta pakar rujuk bidang kekeluargaan termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pakej itu merangkumi dua modul utama, iaitu Modul Romantika Cinta untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga dan Modul Kebapaan khusus bagi golongan bapa.
Terdahulu dalam ucapannya, Nancy menekankan peranan KPWKM dengan kerjasama LPPKN untuk terus memastikan tiada keluarga tercicir dalam arus pembangunan negara.
"Kita sedar dunia hari ini penuh cabaran sosial dan emosi. Oleh itu, melalui Agenda Nasional KASIH Keluarga Negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), KPWKM menumpukan kepada pendidikan keibubapaan dan intervensi sosial supaya setiap keluarga di Malaysia kekal seimbang dan berdaya tahan," katanya.
Menerusi Belanjawan 2026, katanya sebanyak RM4.1 bilion diperuntukkan kepada KPWKM untuk melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi seperti Program Bantuan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI), Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI), pendidikan keibubapaan, serta Agenda Nasional KASIH Keluarga Negara, yang akan diterajui oleh LPPKN di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial